fbpx

Gaji lelaki lebih tinggi daripada wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
Gaji graduan lelaki lebih tinggi daripada wanita bergantung kepada faktor tempoh lama kumpulan tersebut bekerja.

KUALA LUMPUR – Gaji bagi graduan lelaki secara umumnya lebih tinggi berbanding graduan wanita, demikian menurut laporan Statistik Siswazah 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Purata gaji dan upah bulanan graduan lelaki berkelulusan ijazah adalah RM7,055 berbanding siswazah wanita RM5,348, manakala bagi mereka yang berkelulusan diploma, purata gaji lelaki ialah RM4,152 manakala wanita RM3,390.

Secara keseluruhannya, perbezaan antara gaji graduan lelaki dan wanita agak ketara yang mana secara purata, lelaki menerima RM5,725 sebulan manakala wanita mendapat RM4,531.

Mengulas lanjut mengenai statistik tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, antara punca perbezaan tersebut ialah tahun bekerja bagi pekerja lelaki lebih lama berbanding pekerja perempuan.“

Mohd Uzir Mahidin

 

“Ramai pekerja perempuan bersara awal berbanding lelaki terutamanya bila anak-anak telah berjaya, apabila tiada tanggungan yang besar dan juga bila suami telah berjaya dalam kerjaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohd. Uzir menjelaskan, pekerjaan bergaji tinggi seperti berkhidmat di luar pesisir telah didominasi oleh lelaki.

Selain itu, graduan yang bekerja di Kuala Lumpur menerima gaji lebih besar, dengan purata RM6,442 sebulan manakala pekerja siswazah di Melaka menerima gaji paling sedikit dengan purata RM4,362 sebulan.

Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memaklumkan, tiada sebarang bentuk diskriminasi jantina dalam soal pembayaran gaji atau elaun di negara ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, diskriminasi jantina di negara ini, jika ada, hanya berlaku pada tahun 70-an dan mungkin awal 80-an.

Shamsuddin Bardan

“Baik di sektor awam mahupun swasta, pekerja lelaki dan wanita di negara ini ditawarkan skim yang sama.

“Tiada skim penjawatan yang berbeza bagi lelaki atau wanita.

“Perbezaan gaji yang wujud mungkin disebabkan cara data itu dikumpulkan. Sekiranya laporan tersebut diambil secara lebih terperinci dengan mengambil kira soal tempoh bekerja, pengalaman dan industri, tidak wujud perbezaan gaji antara lelaki dan wanita,” katanya sewaktu dihubungi.

Menurut Shamsuddin, tempoh kerjaya wanita biasanya lebih singkat berbanding lelaki kerana ia merupakan pilihan wanita itu sendiri, seperti berhenti bekerja selepas berkeluarga, melahirkan anak atau mengikut suami berpindah ke tempat lain.

Bagaimanapun beliau menolak teori yang mengatakan majikan lebih gemar memilih pekerja lelaki untuk dinaikkan pangkat dan ia adalah penyebab gaji lelaki lebih tinggi berbanding wanita.

“Dahulu memang ada perbincangan sama ada amalan pilih kasih ini dipraktikkan, sekiranya ada ‘siling kaca’ apabila seseorang wanita ingin mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi.

“Namun di Malaysia, lantikan dibuat berdasarkan prestasi. Memang ada intervensi bagi meningkatkan penglibatan wanita, misalnya memberikan kuota 30 peratus untuk mereka.

“Tetapi ramai wanita sendiri tidak bersetuju, kerana seolah-olah mereka naik disebabkan kuota dan bukan atas keupayaan sendiri,” katanya.
Penengah gaji dan upah bulanan lelaki berkelulusan ijazah pula ialah RM6,250 berbanding wanita (RM4,798) manakala bagi lelaki berkelulusan diploma, angkanya ialah RM3,450 dan wanita RM2,990).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN