fbpx

Erra tahu masalah Emran dan Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRA FAZIRA

Seperkara menyenangkan setiap kali bersua dengan primadona filem Melayu, Erra Fazira, beliau jarang mengelak daripada memberi jawapan kepada setiap pertanyaan media. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah soalan ‘panas’ melibatkan kehidupan peribadinya, pasti ada penjelasan terbit menerusi bibirnya.

Benarlah, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek sedar akan statusnya sebagai selebriti yang tidak boleh lari daripada semua perkara tersebut.
Sementelah, hampir tiga dasawarsa beliau bergelumang dalam dunia seni yang penuh rencam duri.

Profesionalisme lahir daripada gerak bibir, tutur bicara dan tingkah lakunya sangat disenangi ramai waima soalan yang diajukan tidak lagi berkaitan dengan dirinya, dia melantunkan bicara dengan tenang, dalam canda menguntum di bibir.

 

Erra masih relevan dalam kaca televisyen. Program buat bicaranya, Mingguan Wanita dan drama bersiri kepolisan, Gerak Khas tetap meraih sokongan setia daripada peminat. – BLACKPEPPER PRODUCTION

 

Dalam situasi terkini, tentunya respons balas Erra tentang perceraian antara bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan pelakon jelita Indonesia, Laudya Cynthia Bella menjadi perhatian ramai.

“Saya cakap secara dasar sahaja. Saya tidak mencampuri urusan rumah tangga bekas suami biarpun dia bapa kepada anak saya. Saya tidak pernah masuk campur atau menanyakan apa yang terjadi jika mereka sendiri tidak membuka mulut. Saya hanya berdiam diri sahaja.

“Bagaimanapun, tipulah kalau saya tidak tahu pergolakan yang berlaku. Saya tahu sedikit sebanyak tetapi tidaklah secara terperinci. Saya bukan jenis orang yang suka ‘korek’ cerita orang dan saya tidak mahu tahu pun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditebak pertanyaan sama ada anaknya, Engku Aleesya mengetahui isu pergolakan rumah tangga yang tercetus antara Emran dan Bella, jawab Erra: “Budak-budak, anda tahulah macam mana kan. Namun, seperti yang saya katakan tadi, saya tidak suka ‘korek’ cerita orang. Salah kalau saya buat begitu.

“Kalau anda tanya, Aleesya lebih tahu apa yang berlaku (pergolakan) daripada saya kerana dia tinggal dengan mereka. Saya yakin Aleesya juga bersedih dengan apa yang berlaku. Jangan kata dia seorang sahaja bersedih bahkan saya juga yakin Emran yang melaluinya juga bersedih. Apakan daya, jodoh itu ketentuan Ilahi. Saya percaya, Aleesya pun sudah sayangkan Bella seperti seorang ibu.”

Dalam tertib melantun bicara, Erra, 46, tertawa apabila disuakan persoalan yang secara teknikalnya, bukanlah melibatkan dirinya. Menjawab sama ada beliau ada berhubung dengan sama ada Bella mahupun Emran, akuinya: “Sebagai seorang wanita, saya dan Bella kadang-kadang ada berhubung untuk bercakap tentang hal wanita secara umum, tiada hal terperinci tentang perihal rumah tangganya.

“Kalau berhubung dengan Bella pun, selalunya berkaitan anak iaitu Aleesya.
“Beginilah, tiada pasangan di dunia ini yang mahukan perkahwinan yang dibina berakhir dengan perceraian. Saya percaya Bella dan Emran sudah mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, namun jodoh sampai di situ sahaja.”

Tidak campur

Dalam pada itu, pelakon yang cukup dikenali menerusi filem ikonik Sembilu itu mengakui , ada berhubung dengan bekas suaminya dan tahu akan pergolakan yang timbul antara mereka.

“Saya tidak berpihak kepada mana-mana. Sejujurnya saya tahu pergolakan rumah tangga daripada awal, tetapi tidak mahu menjerumuskan diri dalam hal mereka atau menjadi orang tengah permasalahan yang mereka hadapi.

“Tidak manis jika saya berbuat demikian. Apa yang boleh saya kongsi, saya kongsi,” jelas Erra yang tidak lekang dengan senyuman.

Meneruskan perbualan, pelantun lagu Hanya Di Mata itu turut mengakui ada menitipkan pesanan dan kata-kata semangat buat Bella.

“Saya cakap pada Bella setiap pahit itu pasti ada manisnya nanti. Allah uji bermakna ada ganjaran yang Dia akan bagi selepas ini. Bersabar sahajalah,” tuturnya.

Hakikatnya, Erra jelita dan Bella juga tidak kurang cantiknya. Jadi, adakah masalahnya berpunca daripada Emran, beliau hanya tertawa seraya menjawab:

“Bukan soal cantik jelita atau apa. Ini semua soal jodoh. Takkanlah Emran berkahwin dengan saya dan Bella sebab kecantikan.
“Saya percaya, kalau sudah berkahwin, itulah jodoh sampai bila-bila tetapi kalau jodoh tidak panjang, apa boleh buat kan.”

Larut dalam selingkar kehidupan orang lain, perlahan-lahan perbualan kami berubah arus.
“Erra sendiri bagaimana?” pintas seorang wakil media bersahaja mengalih perhatian.

 

ERRA kini baru dilantik sebagai duta produk penjagaan rambut Faith Fleur.

 

Dalam bersahaja Erra membalas: Saya tidak pernah tutup hati untuk berkahwin lagi. Siapa yang tidak mahu berpasangan. Kalau ada, ada lah. Sekarang memang tiada.

“Mungkin pengalaman telah menjadikan saya lebih berhati-hati soal jodoh.
“Bukan tiada orang berminat atau ‘merisik khabar’ (tertawa), tetapi mungkin saya yang susah percaya atau sukar untuk terima seseorang.”

Ditekan lebih mendalam sama ada beliau kini ada melihat masa depannya sebagai seorang isteri orang, Erra tidak menolak perkara itu, namun dengan beberapa syarat.

“Niat memang ada. Beginilah, katakanlah saya ada seorang calon, takkan saya ingin terus kahwin. Saya mesti ingin pastikan perkara lama tidak berulang. Untuk perkahwinan ketiga, saya harus berhati-hati.

“Setiap hari antara doa saya selepas solat adalah semoga dipertemukan dengan jodoh lagi. Anak pun semakin membesar dan usia saya semakin berganjak. Justeru, saya mahukan seorang peneman hidup yang boleh membimbing. Kalau ingin cari suami, saya mahukan seseorang yang seimbang dunia dan akhirat. Insya-Allah,” kata Erra seraya menamatkan perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI