fbpx
Nor Ashikin Abdullah melihat perabot miliknya yang rosak akibat rumah dinaiki air banjir ekoran hujan lebat di Taman Pasir Mas, Sungai Chua, Kajang semalam. GAMBAR - AMIR KHALID

Banjir terburuk dalam 5 dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Penduduk di Jalan Nazir, Kampung Sungai Ramal Dalam dekat Bandar Baru Bangi di sini menyifatkan banjir yang melanda kediaman mereka kelmarin adalah yang terburuk dalam tempoh lima dekad.

Rodzi Abdullah, 50, berkata, dia bergegas ke rumah kakaknya di kawasan sama untuk membantu memindahkan ibunya selepas dimaklumkan paras air meningkat secara mendadak.

“Setibanya saya rumah kakak, air sudah mula naik. Syukur usaha memindahkan ibu ke rumah seorang lagi kakak yang terletak berhampiran berjalan lancar.

“Air naik sehingga paras dada menyebabkan 80 peratus barangan dalam rumah dan kereta tidak sempat diselamatkan. Ini kejadian terburuk sejak saya menetap di sini 50 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

 

Sebuah kereta yang mengalami kerosakkan teruk selepas dibawa arus banjir di Sungai Ramal Dalam, Kajang. GAMBAR – AMIR KHALID

 

Sementara itu, penduduk, Syareen Mokhtar, 37, memberitahu, dia mengalami kerugian ribuan ringgit selepas barangan di dalam rumahnya tidak sempat diselamatkan.

“Sebelum ini, kawasan ini pernah dinaiki air tiga kali, namun tidak seteruk semalam (kelmarin),” katanya yang menetap di kawasan itu sejak 2010.

Jelas ibu dua anak itu, air naik terlalu cepat selepas hujan lebat hampir tiga jam dan dia hanya sempat mengalihkan kereta ke kawasan lebih tinggi.

“Saya bernasib baik kerana beberapa penduduk datang membantu dan anak-anak dimasukkan dalam kolam plastik yang dijadikan sebagai pelampung,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, kejadian banjir itu menjejaskan 325 mangsa daripada 76 keluarga di Selangor.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke 10 buah pusat pemindahan sementara air naik sehingga empat meter,” katanya -K! ONLINE

POPULAR