KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) berkeupayaan menawarkan teknologi generasi kelima (5G) dalam tempoh beberapa bulan sahaja sekiranya kerajaan menganugerahkan lesen spektrum berkenaan kepada syarikat.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, melalui pembangunan infrastruktur lebih daripada 560,000 kilometer kabel gentian optik di seluruh negara, pihaknya boleh menawarkan teknologi berkenaan kepada lebih ramai pengguna.
Ini sejajar dengan hasrat syarikat untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih daripada 98 peratus daripada penduduk.
Sehingga kini, syarikat konglomerat itu telah melabur sebanyak RM20 bilion untuk infrastruktur talian tetap, RM4.4 bilion bagi infrastruktur asas jalur lebar, RM16 bilion untuk infrastruktur jalur lebar dan RM2.2 bilion bagi pembangunan infrastruktur mudah alih.
TM miliki infrastruktur telekomunikasi lengkap
“TM tidak memerlukan pelaburan yang besar untuk menawarkan teknologi terbaharu itu kerana kami sudah memiliki infrastruktur sedia ada.
“Teknologi 5G memerlukan kabel gentian optik dan tanpa kabel tersebut, perkhidmatan tersebut tidak boleh ditawarkan kepada rakyat, memandangkan kami memiliki infrastruktur tersebut, kami perlu pasang dan hubungkan sahaja,” katanya pada sesi taklimat media di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani.
5G adalah rangkaian komunikasi tanpa wayar generasi masa depan yang direka untuk memberikan hubungan maya lebih baik berbanding generasi sebelumnya, termasuk kelajuan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
TM tidak perlu pelaburan besar untuk 5G
Selain itu, Muneer menjelaskan, kerajaan perlu memberi peluang kepada TM untuk memenuhi tanggungjawabnya menawarkan teknologi 5G bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik dan pantas.
“Jika ditanya kepada syarikat telekomunikasi lain sama ada mereka mampu menawarkan teknologi 5G, pastinya mereka tidak boleh melaksanakannya kerana ia memerlukan pelaburan yang tinggi untuk membangunkan infrastruktur berkenaan.
“Mereka sebenarnya masih terbeban dengan peruntukan pelaburan yang tinggi untuk penyediaan platform teknologi 4G beberapa tahun lalu, pulangan daripada pelaburan tersebut masih belum diperoleh,” jelas beliau.
TM bukan monopoli pasaran
Menjawab soalan berhubung dakwaan TM memonopoli industri telekomunikasi di negara ini sehingga menyukarkan syarikat lain untuk berkembang, Noor Kamarul menjelaskan, ia merupakan satu dakwaan yang tidak berasas kerana syarikat bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur komunikasi negara bagi kemudahan rakyat.
Menurutnya, operasi syarikat tidak bersandarkan kepada keuntungan semata-mata tetapi mengambil kira agenda kerajaan untuk membangunkan industri telekomunikasi negara.
Ini dapat dilihat pada projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Putrajaya pada tahun 1997 yang dibangunkan oleh TM dengan pelaburan lebih daripada RM1 bilion.
“Syarikat telekomunikasi lain tidak berminat untuk melaksanakan projek pada masa tersebut, kami menerima pelawaan tersebut dan berjaya melaksanakannya,” ujarnya.