fbpx

Keluarga penjual jagung layak didaftar asnaf miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga emas yang tular dalam insiden bersama penguat kuasa pihak berkuasa tempatan sebelum ini.

SHAH ALAM – Penjual jagung yang tular dalam insiden bersama penguat kuasa sebelum ini layak didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, ini berdasarkan mereka telah melepasi haddul kifayah (garis kecukupan) yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat Negeri Selangor.

“Penjual itu yang merupakan warga emas memenuhi syarat umum kelayakan agihan zakat iaitu individu atau keluarga mestilah beragama Islam dan warganegara atau Pemastautin Tetap (PR).

“Walaupun warga emas ini berstatus PR namun bantuan zakat disalurkan atas dasar anak-anaknya merupakan warganegara yang beragama Islam dan wajib dibantu agar keperluan kebajikan mereka dipenuhi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, sebahagian warganet mempersoalkan tindakan LZS yang akan membantu penjual warga emas tersebut kerana memiliki kad atau taraf PR.

Basith menegaskan, berdasarkan kepada siasatan LZS mendapati warga emas ini merupakan PR yang mempunyai tujuh orang tanggungan termasuk isteri.

“Dua orang anaknya menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT), manakala tiga orang lagi masih bersekolah.

“Selama ini, beliau dan isteri menyara hidup menjual buah-buahan bagi membesarkan anak-anak dengan pendapatan yang tidak menentu, bergantung kepada hasil jualan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan LZS akan menyantuni keluarga ini dengan bantuan pendidikan bagi anak-anak yang sedang bersekolah dan bantuan sewa rumah untuk meringankan beban mereka.

Ujarnya, LZS turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan penyakit yang dihadapinya setelah mendapat pengesahan perubatan daripada hospital.

“Warga emas tersebut menghidap penyakit Retinitis Pigmentosa iaitu masalah penglihatan kabur dan sukar untuk dipulihkan.

“Selain itu, bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI