fbpx
NAMUN tanpa sedar, content ‘sampah’ mampu meraih ribuan komen dan reaksi daripada orang ramai. - GAMBAR HIASAN

‘Content’ murahan: Tak viral, tiada duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GILA perhatian sehingga sanggup mencipta cerita sensasi sendiri semata-mata untuk menyorot fokus masyarakat. Malah, ada sahaja individu yang mempunyai idea ‘gila’ untuk nama mereka dikenali.

Pergaduhan suami isteri, konflik majikan dengan pekerja atau mencipta situasi menghentam pihak atau sesebuah produk. Itu antara cara yang paling mudah untuk nama mereka menjadi bualan ramai di media sosial.

Kedengaran seperti cara pemasaran murahan tetapi hakikatnya teknik sebegitu antara yang berkesan dan mudah untuk memancing rasa simpati atau amarah ramai.

Bergaduh macam mahu gila tetapi hakikatnya semua itu yang menjadi sumber kewangan segelintir pihak. Tiada viral tiada duit.

Golongan sebegini dilihat seperti berlumba-lumba menghasilkan content paling sensasi sehingga sanggup mengenepikan harga diri dan tidak kisah dengan kecaman diterima.

Perkara tersebut sekali gus mewujudkan sekumpulan masyarakat yang hidup mereka berpaksikan content dalam media sosial hari ini.

Namun tanpa sedar, content ‘sampah’ sebegitu yang meraih ribuan komen dan reaksi daripada orang ramai. Ibarat ada ‘demand and supply’.

Menurut penerbit dan pengarah Michael Ang, dia mengakui letih melihat lambakan isu viral yang tidak masuk akal tular dalam media sosial hari ini.

“Saya penat isu-isu viral aneh terus wujud. Sudah-sudahlah tayang masalah rumah tangga dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengeni isu berkenaan, Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid berkata, golongan yang mengejar viral hari ini bijak ‘memancing’ dengan menjual content murahan dan simpati semata-mata untuk menjadi bahan bualan masyarakat.

“Orang zaman sekarang sangat bijak ‘pancing’ tontonan dan kita pun mahu tengok juga termasuk content bergaduh sehingga muncul komen yang rasa mereka terpaling bagus.

“Tapi kenapa otak kita suka sangat benda macam ini? Itu juga sebahagian daripada sisi gelap dalam dunia pemasaran sesebuah produk atau jenama,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, mudah terpengaruh dengan content media sosial dilabel sebagai ‘emotional contagion’ atau penularan emosi menerusi konten yang dimuat naik.

“Bila lihat orang ramai, kita pun akan mudah terkesan. Emosi itu akan mudah ‘berjangkit’ dan buatkan kita rasa nak masuk campur juga.

“Kemudian orang ramai juga akan cenderung untuk mempercayai maklumat yang menyokong apa yang mereka sudah percaya dan menolak hal lain,” jelasnya.

Tambah Raja Kamariah, content media sosial hari ini juga mewujudkan pemikiran dalam kalangan masyarakat yang seronok apabila melihat kejatuhan atau kecaman terhadap orang lain.

“Kebanjiran pelbagai content dalam media sosial juga membuatkan ramai berani memberi komen termasuk berbaur provokasi atau serangan secara mental kerana mereka rasa ‘selamat’ di belakang skrin.

“Apa pun, berhati-hatilah sebab apabila terlalu menyokong perkara toksik, kita pun terperangkap dalam isu tersebut,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN