SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar, sebaliknya menegaskan kejayaan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir negeri itu menjadi matlamat utama perjuangannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, beliau berlapang dada kerana tumpuannya sejak awal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah untuk memastikan BN kembali menerajui pentadbiran negeri.
“Saya gembira hasrat perjuangan untuk memberikan kemenangan kepada BN dan memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya.
“Mandat besar sudah diberikan kepada BN. Yang patut diraikan adalah kemenangan BN.
“Tubuh badan saya tak sakit sebab tak jadi Menteri Besar. Kenapa orang lain pula yang sakit?” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jalaluddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai Menteri Besar selepas gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN pada Sabtu lalu.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin memaklumkan, beliau tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain.
“Saya juga tidak akan menawarkan diri sebagai Exco kerana saya sudah menjadi Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang. Saya sudah mengetengahkan calon-calon terbaik dan berkaliber daripada BN, beri mereka peluang.
“Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa. Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi Manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















