fbpx
MEKYUN mengakui kekhilafannya yang terburu-buru membuat kesimpulan mengenai kes kematian seekor anjing yang tular baru-baru ini tanpa mendapatkan maklumat lengkap daripada kedua-dua pihak.

‘Saya terlalu cepat buat kesimpulan’ – Mekyun mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pempengaruh Mekyun memohon maaf selepas dikecam gara-gara ulasannya mengenai kes kematian seekor anjing bernama Rocky yang tular baru-baru ini.

Mekyun atau nama lengkapnya Wee Mun Nee, 29, mengakui kekhilafannya yang terlalu terburu-buru membuat kesimpulan tanpa mendapatkan maklumat lengkap daripada kedua-dua pihak.

“Saya ingin memohon maaf atas video dan kenyataan yang saya keluarkan berkenaan kes Rocky baru-baru ini.

“Saya sedar pada waktu itu saya terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan info yang orang kongsi kepada saya dan hanya melihat daripada satu pihak sahaja.

“Saya sepatutnya memberi ruang untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak serta menunggu siasatan dan fakta yang lengkap sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam Threads.

Pada masa sama, Mekyun bersedia untuk bertanggungjawab atas tindakannya selain memaklumkan sudah memadam video yang menimbulkan kemarahan ramai.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan saya dan benar-benar memohon maaf kepada semua yang kecewa dengan tindakan saya terutamanya kepada ibu bapa yang terkesan dengan video saya itu.

“Saya telah memadam video itu sebab saya sedar tindakan saya mengeluarkan video itu tanpa mendapatkan gambaran yang menyeluruh adalah satu kesilapan,” jelasnya.

Disebabkan perkara tersebut, dia berjanji akan lebih berwaspada sebelum menyuarakan pandangan dalam media sosial.

“Terima kasih kepada semua yang menegur saya. Perkara ini akan dijadikan satu pengajaran untuk lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan memastikan saya mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh sebelum berkongsi pandangan pada masa akan datang.

“Sekali lagi, saya memohon maaf dengan sepenuh hati. Saya menghargai setiap teguran yang kalian berikan dan akan belajar daripada semua teguran kalian semua.

Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan pelbagai pandangan dan luahan berkaitan kes kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika operasi menangkap anjing liar yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama penduduk taman pada pukul 10.50 malam, Rabu lalu.

MBDK dalam kenyataanya memaklumkan seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau, selain mengugut akan mencederakan diri sendiri sekiranya haiwan berkenaan tidak dilepaskan.

Menurut MBDK, tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku menyukarkan anggota penguat kuasa melonggarkan serta melepaskan peralatan tangkapan demi keselamatan haiwan itu sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.

Insiden tersebut turut mencetuskan perhatian memandangkan Taman Teluk Gedung Indah sebelum ini berdepan isu kebanjiran anjing liar sehingga mengakibatkan seorang pemuda koma lebih seminggu selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika dikejar sekumpulan haiwan tersebut pada 13 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN