KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menepis tanggapan ‘tidak manis’ berhubung ketidakhadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar hari ini.
Menurut beliau, jemputan kepada semua ADUN dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun notis yang diterima pada saat akhir menyebabkan ada antara mereka yang berkemungkinan mempunyai komitmen lain.
“Ada hal lah tu. Saya pun tidur pun tak cukup lagi. Jemputan dibuat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jemput semua. Cuma mungkin notisnya agak pendek (singkat).
“Jemputan pula dihantar pada pukul 4 pagi, jadi pagi ini mungkin sudah ada komitmen lain,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Terdahulu, pemerhatian mendapati beberapa kerusi yang dikhaskan kepada ADUN tidak dipenuhi termasuk dua calon Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan ADUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin. – KOSMO! ONLINE














