JAKARTA – Platform media sosial di Indonesia sejak beberapa hari lalu gempar dengan penularan video yang memaparkan beberapa pusat beli-belah terkemuka di bandar-bandar besar, seperti Jakarta dan Surabaya, mula memasang pagar besi yang tinggi, lapor agensi berita Liputan 6.
Penularan gambar dan video berkenaan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat tempatan, termasuk desas-desus bakal berlaku tunjuk perasaan secara besar-besaran dan rusuhan dalam masa terdekat.
Pagar penghalang setinggi 2.5 hingga 3 meter itu dilaporkan dipasang di beberapa pusat beli-belah terkenal di Jakarta seperti Kota Kasablanka dan Gandaria City, serta beberapa lokasi di Surabaya termasuk Pakuwon Mall dan Tunjungan Plaza.
Menjawab isu tersebut, Gubernor DKI Jakarta, Pramono Anung, berhasrat meminta pengurusan pusat membeli-belah untuk segera merobohkan semula pagar tinggi yang telah dipasang.
“Mengenai pemasangan pagar ini, saya melihat ia mungkin sebahagian daripada kebimbangan pihak pengurusan. Namun, tiba masanya nanti saya akan meminta pagar-pagar itu dialihkan semula,” kata Pramono kepada media di Jakarta.
Beliau menambah bahawa kebimbangan yang berlebihan hanya akan menjejaskan suasana keharmonian bandar raya itu.
Pramono turut memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tempatan berhubung rapat dengan Polis Nasional Indonesia (Polri) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memastikan keselamatan ibu kota terkawal.
Kerisauan pihak pengurusan pusat beli-belah dipercayai berpunca daripada ingatan terhadap gelombang demonstrasi besar yang pernah melanda negara itu pada Ogos tahun lalu.
Tunjuk perasaan pada Ogos 2025 yang berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap isu ekonomi dan tindakan polis telah mengakibatkan rusuhan di beberapa kawasan utama.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengurusan Pusat Beli-Belah Indonesia (APPBI), Alphonzus Widjaja, turut menjelaskan bahawa pemasangan pagar merupakan tindakan berjaga-jaga biasa dalam industri peruncitan, terutamanya bagi premis yang terletak di laluan utama perhimpunan awam.
“Pemasangan pagar ini adalah untuk tujuan ketenteraman kawasan dalaman serta mengawal laluan pengunjung.
“Banyak pusat beli-belah sememangnya sudah dilengkapi pagar sejak awal pembinaannya,” jelas Alphonzus,” jelasnya. – AGENSI














