fbpx
KHATIJAH Ubay (kiri) mencipta kejutan menjuarai Kejohanan GAMMA MMA Asia 2026 kategori bawah 52 kilogram (kg) wanita bawah 21 tahun.

Khatijah takluk pentas MMA Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas juara kebangsaan sanda, Khatijah Ubay membuktikan keputusan beralih daripada gelanggang wushu ke pentas seni bela diri campuran (MMA) bukan satu pertaruhan sia-sia apabila muncul juara kategori bawah 52 kilogram (kg) wanita bawah 21 tahun pada Kejohanan GAMMA MMA Asia 2026 di Putrajaya.

Kejayaan pada penampilan sulung itu meletakkan atlet muda dari Labuan berkenaan antara prospek paling menyerlah dalam sukan MMA selepas berjaya menewaskan pencabar terbaik Asia di hadapan penyokong sendiri.

Khatijah berkata, gelaran berkenaan cukup bermakna kerana ia diraih pada penampilan pertamanya dalam kejohanan yang menghimpunkan barisan atlet elit dari seluruh rantau Asia.

“Saya rasa bangga dan bersyukur. Terima kasih kepada rakan latihan serta pasukan saya yang sentiasa bersama sepanjang persiapan,” katanya.

Menurutnya, minat yang mendalam terhadap MMA mendorong dia menggabungkan latihan sanda dan jiu-jitsu sejak menyertai Akademi BCG MMA pada 2019 sebagai persediaan mengembangkan karier dalam sukan itu.

Katanya, dia pada mulanya berkecimpung dalam acara taolu wushu sebelum mengambil keputusan beralih ke sanda kerana merasakan disiplin itu lebih sesuai dengan gaya pertarungannya.

“Saya mula dengan wushu yang menggunakan pedang, tetapi kemudian saya beralih ke sanda kerana saya rasa ia lebih sesuai dengan diri saya dan saya memang mahu menjadi juara,” katanya.

Keputusan berani itu akhirnya membuahkan hasil apabila asas kukuh dalam sanda digabungkan dengan kemahiran jiu-jitsu menjadi ramuan utama yang membolehkannya menawan gelaran MMA Asia.

Kejohanan bersejarah itu turut mencipta rekod apabila Malaysia menjadi tuan rumah edisi sulung Kejohanan GAMMA MMA Asia yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 15 negara, selain pegawai dan delegasi dari 21 negara di Putrajaya.

Kejayaan Khatijah bukan sahaja menghadiahkan detik manis buat skuad negara, malah membuktikan atlet yang lahir daripada disiplin seni bela diri tradisional seperti sanda mampu mencipta kejayaan di pentas MMA antarabangsa jika diberikan pendedahan serta platform yang tepat.

Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kempen dengan pungutan tiga pingat emas, tiga perak dan lapan gangsa untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN