MELAKA – Seorang wanita menjana RM1,000 sebulan dengan menjual aksesori batu kristal dan jed menggunakan manik sebelum mempelajari teknik pembuatannya di media sosial sejak lima tahun lalu.
Nurul Nazratul Afitah Mohd. Rozi, 37, berkata, dia tidak menyangka tindakannya berhenti kerja sebagai eksekutif di ibu negara bagi membesarkan sendiri empat anaknya membuka rezeki baharu buat keluarganya.
Katanya, dia berbuat demikian kerana kos pengasuh anaknya mencecah RM1,000 sebulan.
“Manik yang dikumpul menjadi banyak dan saya mula buat perhiasan selepas kenal batu kristal dan jed. Saya kini menjual lebih 100 jenis seperti Rose Quartz yang dikenali sebagai batu cinta, Sakura Agate, Jarum Mas, White Jade dan Green Jade.
“Selain gelang, saya turut buat cincin, rantai, tasbih, rantai kunci dan penanda buku menggunakan batu semula jadi mengikut cita rasa pelanggan, terutama bagi sambutan hari guru, majlis keraian dan tempahan khas,” katanya.
Dia ditemui di program Mum2Mun Market di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini semalam.
Program itu membuka peluang kepada peniaga kecil memasarkan pelbagai produk termasuk makanan, kraftangan dan barangan terpakai.
Menurut Nurul Nazratul Afitah, setiap produk dijual pada harga antara RM8 hingga RM110 bergantung kepada jenis batu dan reka bentuk.
Tambahnya, setiap satu gelang batu kristal perlu mengambil masa kira-kira 20 minit untuk disiapkan bergantung kepada reka bentuk, jenis dan permintaan pelanggan.
“Perniagaan ini saya dan mulakan secara kecil-kecilan bersama seorang rakan, sejak kira-kira lima tahun lalu selepas pandemik Covid-19.
“Sambutan yang saya diterima semakin menggalakkan sehingga membolehkan kami menjana pendapatan sampingan lebih RM1,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, selain menjualnya secara dalam talian, dia juga membuka gerai di pelbagai program bagi memperkenalkan produk itu kepada orang ramai.
Dia berharap lebih ramai masyarakat mengenali keunikan batu semula jadi yang bukan sahaja sesuai dijadikan perhiasan, malah seni kraftangan yang unik.














