JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menutup tirai kariernya di Sukan Komanwel dengan cemerlang apabila menghadiahkan pingat emas keirin buat Malaysia, sekali gus menebus episod pahit kehilangan gelaran pada 2010.
Jaguh berusia 38 tahun yang digelar The Pocket Rocketman itu tidak mampu menyembunyikan perasaannya sejurus melintasi garisan penamat apabila impian yang tertangguh selama 16 tahun akhirnya menjadi kenyataan dalam penampilan terakhirnya di temasya empat tahun sekali itu.
Azizulhasni mengakui dia bukan pilihan utama untuk muncul juara, malah sedar barisan pelumba Australia memiliki kelebihan dari segi kekuatan fizikal, namun pengalaman serta kebijaksanaan mengatur strategi menjadi senjata utama untuk menewaskan semua pencabar.
“Seperti yang anda boleh lihat, saya sangat
beremosi selepas perlumbaan itu. Ia sesuatu yang sukar dipercayai. Saya bukanlah peserta kegemaran. Saya bukannya yang paling kuat di litar ini.
“Pelumba Australia adalah yang paling kuat hari ini, seperti yang anda boleh lihat. Bagi saya, saya melakukannya langkah demi langkah. Saya fokus kepada taktik saya dan bersabar dengan kedudukan saya. Saya melakukan pecutan itu pada masa yang tepat.
“Ini merupakan Sukan Komanwel terakhir saya, dan saya mengakhirinya dengan pingat emas. Saya tidak boleh meminta lebih daripada itu,” katanya.
Azizulhasni turut mengimbau kenangan pahit di New Delhi pada 2010 apabila kemenangan emas yang diraih ketika itu dibatalkan sebelum pingat berkenaan diserahkan kepada rakan sepasukannya, Josiah Ng.
“Saya pernah menang di India pada 2010, tetapi penyertaan saya dibatalkan dan pingat emas diberikan kepada rakan saya, Josiah. Sebab itu sebelum perlumbaan ini saya hanya berdoa untuk sekurang-kurangnya dapat berdiri di podium sebagai hadiah terakhir buat diri sendiri,” katanya.
Mengulas aksi final, Azizulhasni menganggap perlumbaan itu sebagai antara yang terbaik pernah diharunginya kerana terpaksa berdepan kelompok pelumba bertaraf dunia dari Australia, Leigh Hoffman, Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago serta pelumba England, Harry Ledingham-Horn.
“Saya rasa ini adalah salah satu perlumbaan terbaik dalam hidup saya. Saya mungkin mempunyai kuasa kayuhan paling rendah berbanding pelumba lain, tetapi keirin bukan hanya mengenai kekuatan.
“Ia mengenai taktik dan saya percaya saya sudah membuktikan bahawa saya masih antara pakar taktikal terbaik dunia dalam acara ini,” katanya.
Dalam perlumbaan akhir, Azizulhasni tidak terburu-buru mengatur serangan. Sebaliknya, beliau kekal tenang mengawasi pergerakan pencabar utama sebelum melakukan pecutan untuk memintas Hoffman dan muncul juara.
Harry Ledingham-Horn dari England membawa pulang pingat gangsa, manakala juara bertahan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.














