PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) akan membatalkan serta-merta 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan secara tidak sah susulan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati semua PLKS berkenaan tidak memberikan sebarang hasil kepada kerajaan.
“Pertamanya tindakan kita ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur.
“Kita akan mengesan seterusnya di mana mereka berada. Buat masa ini mereka berada di merata tempat, namun kita tidak boleh dedahkan lokasi kerana bimbang mereka akan melarikan diri,” katanya.
Beliau berata demikian pada sidang akhbar bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan semua pemegang PLKS terbabit yang dipercayai berada di pelbagai lokasi di seluruh negara dan bekerja dalam pelbagai sektor sebelum tindakan undang-undang diambil.
Dalam pada itu, Zakaria menegaskan JIM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang salah laku, penyelewengan dan rasuah dalam jabatan.
Katanya, JIM akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM bagi memastikan semua individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Sekiranya pegawai JIM didapati terbabit dalam rasuah atau penyelewengan, jabatan itu bukan sahaja menyerahkan siasatan kepada SPRM malah akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa sendiri, termasuk mengikut Akta Pasport selepas siasatan selesai.
“Siasatan mendapati sindiket tidak mungkin dapat memanipulasi sistem tanpa pembabitan orang dalam yang mempunyai akses serta pengetahuan mengenai sistem Imigresen,” ujarnya.
Mengulas modus operandi sindiket, Zakaria berkata, mereka memasang peranti ‘dongle’ bersama perisian tertentu pada komputer jabatan sebelum menggunakan nama pengguna (ID) pentadbir bagi mewujudkan akaun palsu untuk meluluskan PLKS secara tidak sah.
Menurut beliau, penggunaan ID pentadbir itu membolehkan sindiket menghasilkan ID palsu bagi meluluskan permohonan PLKS yang tidak mengikut prosedur.
“Perkara ini tidak boleh berlaku tanpa pembabitan orang dalam yang mengetahui sistem.
“Hasil pemeriksaan forensik bersama Cyber Security Malaysia mendapati sistem Imigresen tidak boleh ditembusi dari luar sebaliknya eksploitasi berlaku melalui akses dalaman oleh individu yang mempunyai autoriti terhadap sistem,” katanya.
Kelmarin, SPRM mengumumkan penahanan 12 individu terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis kerana disyaki terbabit dalam sindiket penggodaman MyIMMs.
Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi, sekali gus menyebabkan 1,306 PLKS dikeluarkan secara tidak sah dengan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta. – KOSMO! ONLINE














