PETALING JAYA – Platform kecerdasan berasaskan operasi, Cartrack terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia menerusi penawaran pelbagai penyelesaian digital bagi membantu syarikat meningkatkan kecekapan pengurusan armada, mengurangkan kos operasi serta mempertingkatkan keselamatan pemandu.
Ketua Strategi dan Pemasaran Cartrack Singapura, Carmen Calisto berkata, Malaysia merupakan antara pasaran strategik syarikat di Asia Tenggara selepas Cartrack mula beroperasi di negara ini sejak 2014 dengan menawarkan penyelesaian kepada perusahaan kecil dan sederhana sehingga syarikat yang mengendalikan armada berskala besar.
Menurutnya, Asia Tenggara kini menjadi rantau pertumbuhan terpantas Cartrack di peringkat global apabila hasil langganan pelanggan di sini meningkat sebanyak 31 peratus pada tahun kewangan lalu, sekali gus menjadikannya penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan kumpulan.
“Malaysia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tersebut dan kami terus melabur bagi mengembangkan infrastruktur serta memperkukuh pasukan tempatan di seluruh Semenanjung, Sabah serta Sarawak bagi memastikan pelanggan menerima sokongan terbaik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Carmen berkata, antara penyelesaian yang paling mendapat sambutan di negara ini ialah sistem Pengurusan Bahan Api yang membantu syarikat memantau penggunaan bahan api secara masa nyata, sekali gus mengurangkan pembaziran, penyalahgunaan serta meningkatkan kecekapan operasi armada.
Selain itu, teknologi AI Vision mencatat pertumbuhan terpantas apabila mampu mengesan tingkah laku pemanduan berisiko seperti keletihan, gangguan ketika memandu, brek mengejut dan jarak mengekor yang tidak selamat sebelum berlaku kemalangan.
Jelasnya, rantau Asia Tenggara yang mencatat pertumbuhan pelanggan sekitar pertengahan 20 peratus sepanjang tahun lalu.
Di peringkat global pula, syarikat induk Cartrack, Karooooo Limited yang disenaraikan di NASDAQ mempunyai kira-kira 2.8 juta pelanggan langganan dan lebih 125,000 pelanggan komersial di lebih 20 negara.
Menurut beliau, sistem Cartrack direka untuk digunakan pada hampir semua jenis kenderaan termasuk kereta, van, lori, bas, motosikal, treler serta jentera berat, selain menyokong pengurusan armada kenderaan elektrik (EV) dan hibrid menerusi satu platform bersepadu.
“Bagi EV, kami bukan sekadar menawarkan fungsi penjejakan tetapi turut memantau tahap kesihatan bateri, corak pengecasan, perancangan laluan serta pelaporan ESG yang semakin menjadi keutamaan syarikat korporat,” ujarnya.
Mengulas perancangan masa depan, Carmen berkata, pihaknya akan terus memperkenalkan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi ramalan sepanjang 2027, di samping memperluaskan kerjasama dengan pemain industri serta agensi kerajaan bagi meningkatkan standard keselamatan armada dan membantu syarikat membuat keputusan operasi berdasarkan data yang lebih tepat. – KOSMO! ONLINE














