fbpx
ATLET angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin menambah koleksi pingat emas negara. GAMBAR: Majlis Sukan Negara (MSN)

Sukan Komanwel: Hafizuddin sumbang emas keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terus menceriakan kem negara apabila menghadiahkan pingat emas keempat Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas menjuarai kategori 88 kilogram (kg) lelaki, sebentar tadi.

Hafizuddin muncul atlet terbaik dalam saingan tersebut menerusi jumlah angkatan 345kg hasil catatan 162kg dalam snatch dan 183kg bagi clean & jerk, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari New Zealand, David McTaggart Cameron yang mengumpul 338kg.

Pingat gangsa pula menjadi milik wakil tuan rumah, Angus Doig dengan jumlah angkatan 309kg.

Kejayaan Hafizuddin itu meletakkan kontinjen negara semakin hampir merealisasikan sasaran lima pingat emas yang ditetapkan pada temasya kali ini.

Sementara itu, gandingan boling padang wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut menyumbang kilauan pingat apabila meraih perak dalam acara pairs wanita di Scottish Event Campus (SEC).

Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman akur dengan pingat perak. GAMBAR: Majlis Sukan Negara (MSN)

Hasrat pasangan negara untuk menambah koleksi emas tidak kesampaian apabila tewas tipis 4-5, 5-5 kepada gandingan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor, dalam aksi final yang berlangsung sengit hingga ke penghujung permainan.

Kedua-dua pasangan saling berbalas mata sepanjang perlawanan, namun wakil England lebih tenang memanfaatkan peluang pada detik-detik penting untuk mengesahkan kemenangan.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik pasangan Ireland Utara selepas menewaskan lawan mereka dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Secara keseluruhan, Malaysia kini telah mengumpul empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus semakin menghampiri sasaran lima emas, dua perak dan empat gangsa di Glasgow. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN