PETALING JAYA – Pengumuman pengambilan sukarelawan bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain 2026 mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial selepas kadar elaun ditawarkan dikatakan hanya RM60 sehari.
Perkongsian mengenai peluang menjadi sebahagian sukarelawan acara berprestij itu mula mendapat perhatian apabila ramai netizen menyifatkan amaun tersebut terlalu rendah dibandingkan penganjuran perlumbaan antarabangsa berkenaan.
“F1 datang semula, tapi elaun sukarelawan RM60 sehari sahaja?” soal Asyraf.
Rata-rata netizen membandingkan tanggungjawab sukarelawan yang dijangka berdepan tempoh kerja panjang, jumlah pengunjung ramai dan tekanan menguruskan acara bertaraf dunia.
“Kalau kerja seharian di kawasan acara besar, RM60 macam tidak berbaloi dengan kawasan luas, panas, perlu berdiri lebih 8 jam,” kata Norhim.
Bagaimanapun, terdapat pengguna media sosial berpandangan penyertaan sebagai sukarelawan bukan semata-mata kerana bayaran, sebaliknya peluang merasai pengalaman berada di belakang tabir acara F1.
“Pengalaman itu mungkin lebih bernilai. Bukan semua orang berpeluang berada dekat dengan suasana perlumbaan F1,” balas @MfMaz.
“(Kalau) Rasa tak berbaloi, jangan mohon. Pertikai nilai amaun, jam kerja, keadaan kerja bagai tapi mohon jugak sebab apa? Sebab duit tidak cukup nak beli tiket. Dah menyusahkan orang lain yang mohon dan tak merungut pasal amaun, jam dan keadaan kerja,” kata Ayiemzazaa.
Terdahulu, media melaporkan pengambilan sukarelawan F1 Grand Prix Bahrain telah dibuka oleh Sepang International Circuit (SIC) melalui laman sesawang https://www.sepangcircuit.com/volunteer-application dengan tawaran elaun RM60 sehari selain penyediaan makanan sepanjang tugasan.
Perlumbaan dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Sementara itu, jadual bertugas pula bergantung kepada tugasan yang diberikan serta keperluan pihak penganjur.
Antara syarat dan kriteria yang diminta adalah butiran peribadi, alamat kediaman serta pengalaman terdahulu sebagai sukarelawan di SIC (jika ada). – KOSMO! ONLINE













