fbpx
Ahmad Norihan (dua dari kanan) melancarkan jenama Sahabat Brand bersempena KS Jelapang Padi Run 2026 di Pantai Murni, Yan kelmarin.

Koop Sahabat suntik RM2 juta perkasa nilai daya saing anggota usahawannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – Koperasi Sahabat Ama­nah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) melangkah lebih jauh dalam memperkasakan usahawan anggotanya menerusi pelancaran jenama komersial baharu, Sahabat Brand dengan peruntukan RM2 juta bagi membuka peluang produk tempatan menembusi pasaran utama.

Langkah itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 jenis produk usahawan anggota dipasarkan di rangkaian kedai runcit terpilih menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Je­neral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk memperkasa usahawan dalam kalangan anggota koperasi berkenaan.

“Sahabat Brand bukan sekadar jenama tetapi satu platform yang membuka peluang kepada anggota untuk membawa produk mereka ke pasaran lebih luas.

“Produk dihasilkan oleh anggota, dipasarkan melalui ekosistem koperasi dan manfaatnya kembali semula kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sahabat Brand bersempena Program KS Jela­pang Padi Run 2026 di Pantai Murni, di sini kelmarin.

Program larian tersebut berjaya menghimpunkan lebih 3,200 peserta dari seluruh negara, sekali gus menyediakan platform berimpak tinggi bagi memperkenalkan produk tempatan kelua­ran anggota kepada masyarakat.

Menurut Ahmad Norihan, Sahabat Brand menyasarkan sehingga 100 sku produk menjelang penghujung tahun ini dan akan dipasarkan melalui rang­kaian kedai runcit terpilih sebelum diperluaskan ke pasaran lebih besar.

“Ini merupakan satu sasaran yang baik dan saya berharap ­usaha ini akan terus berkembang pada masa hadapan.

“SKM sentiasa menyokong koperasi yang berani mencuba perkara baharu, berinovasi dan membina nilai tambah kepada anggota mereka,” ujarnya yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada Koop Sahabat atas pengiktirafan sebagai Koperasi Premier Malaysia 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood berkata, menerusi inisiatif tersebut, produk berkualiti tinggi akan dihasilkan secara terus oleh usahawan mikro dalam kalangan anggota Koop Sahabat.

“Kesemua produk ini akan dikumpulkan dan disaring dari sudut kualiti serta pembungkusan sebelum dipasarkan.

“Produk akan dipasarkan menerusi tiga saluran utama iaitu pusat pengedaran ke kedai dan pasar raya, platform e-dagang serta ekosistem Koop Sahabat,” katanya.

Menurut Mazri, pelaksa­naan tersebut akan bermula di Wilayah Utara melibatkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Produk yang dipilih pada peringkat awal tertumpu kepada kategori makanan dan minuman seperti makanan sedia dimakan, keropok, pes masakan dan produk yang mempunyai jangka hayat lebih panjang,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan Sahabat Brand dirancang secara berfasa bagi memastikan pembangunan jenama dapat dilaksanakan secara tersusun, mampan dan memberi impak maksimum kepada anggota serta koperasi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN