fbpx
Jais

Jais kekal terajui MCW hingga 2029

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Jais Abdul Karim dipilih semula sebagai Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bagi penggal 2026 hingga 2029 selepas memperoleh mandat ahli pada Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Keempat (MATT4) 2026 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Pemilihan semula beliau dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan MCW bagi membentuk barisan kepimpinan baharu yang akan menerajui pertubuhan itu untuk tempoh tiga tahun akan datang dengan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh budaya integriti, memperluas advokasi antirasuah serta memperkasakan penyelidikan dasar dan kerjasama strategik di peringkat nasional.

Jais akan dibantu tiga Timbalan Presiden, iaitu Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Prof. Datuk Dr. GP Doraisamy Govindasamy dan Julaila Samsudin.

Sementara itu, lima Naib Presiden yang dipilih ialah Anwar Sidek Yaaruddin, Muruga Rajan Lingappan, Qamar Arif Mohd. Auzi, Tan Yen Wooi dan Mohamad Firdaus Perseh.

Selain barisan kepimpinan utama, seramai 10 Ahli Jawatankuasa turut dipilih bagi memperkukuh pentadbiran organisasi, memperluaskan rangkaian gerakan MCW di seluruh negara serta memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan integriti dan tadbir urus dapat diperkasakan sepanjang penggal baharu.

Setiausaha Agung MCW, Rosdi Amir berkata, pemilihan tersebut mencerminkan keyakinan ahli terhadap kemampuan kepimpinan baharu untuk meneruskan perjuangan pertubuhan dalam memperjuangkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Menurut beliau, mandat diberikan oleh ahli-ahli MCW bukan sekadar melibatkan pelantikan kepimpinan baharu, malah membawa tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan peranan pertubuhan sebagai sebuah badan masyarakat sivil yang aktif dalam memperjuangkan agenda pencegahan rasuah di negara ini.

“Ahli-ahli telah memberikan mandat kepada barisan kepimpinan yang akan meneruskan agenda memperkukuh pendidikan integriti, advokasi antirasuah, penyelidikan dasar, jaringan strategik dan kelestarian organisasi untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi penggal 2026 hingga 2029, MCW akan terus memperluaskan program pendidikan integriti kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, institusi pendidikan, sektor korporat serta organisasi masyarakat, selain memperhebat usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memerangi rasuah.

Katanya, organisasi itu juga akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam memperkukuhkan sistem tadbir urus serta menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih telus dan berintegriti.

Menurut Rosdi, aspek penyelidikan dasar turut menjadi antara keutamaan kepimpinan baharu bagi menghasilkan cadangan yang dapat membantu memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuhkan mekanisme pencegahan rasuah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara akan terus diperkasakan bagi membolehkan MCW berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta memperkukuhkan gerakan antirasuah secara lebih menyeluruh.

Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Keempat (MATT4) yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM itu turut diisi dengan pelbagai pengisian ilmiah dan profesional yang memfokuskan isu integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah.

Antara pengisian utama ialah sesi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dialog eksekutif yang menghimpunkan tokoh-tokoh berkaitan, pelancaran penerbitan rasmi MCW serta penyampaian pelbagai anugerah kepada individu dan organisasi yang menunjukkan komitmen terhadap usaha memperkukuhkan integriti.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Penganjuran MATT4 dilihat sebagai platform penting bagi menentukan hala tuju MCW untuk tempoh tiga tahun akan datang, selain memperkukuhkan peranan pertubuhan itu sebagai antara organisasi masyarakat sivil yang aktif memperjuangkan pembudayaan integriti, ketelusan dan tadbir urus baik dalam usaha menyokong agenda nasional memerangi rasuah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN