BAGI kebanyakan orang, luka kecil pada kaki mungkin dianggap perkara biasa yang sekadar mencucinya, menyapu ubat dan menunggu ia sembuh sendiri.
Bagaimanapun bagi pesakit diabetes, luka sekecil hujung jarum mampu menjadi permulaan kepada komplikasi yang berakhir dengan kehilangan anggota badan jika tidak dirawat dengan segera.
Realiti itulah yang saban hari disaksikan oleh Pakar Bedah Ortopedik yang juga Profesor serta Ketua Unit Advanced Foot & Ankle, Diabetic Wound Care and Reconstruction di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Mohd. Yazid Bajuri.
Berkhidmat lebih dua dekad dalam bidang ortopedik, anak jati Batu Pahat, Johor berusia 55 tahun ini melihat sendiri bagaimana sebuah keluarga berubah sekelip mata apabila seorang pesakit kehilangan kaki akibat komplikasi kencing manis.
Ada yang hilang mata pencarian, ada yang bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga, manakala sebahagian lagi berdepan tekanan emosi yang sukar digambarkan.
Pengalaman itu mendorong dirinya melihat bidang ortopedik daripada sudut yang lebih luas.
Matlamatnya bukan sekadar merawat tulang yang patah atau membedah anggota yang cedera, sebaliknya memastikan pesakit dapat meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti selepas menerima rawatan.
Komitmennya dalam bidang ortopedik serta inovasi perubatan turut meraih pelbagai pengiktirafan daripada pelbagai pihak dan terbaharu dia dipilih sebagai penerima
Anugerah Industry Specialist ‘Is.’ 2026 yang disampaikan oleh Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM).
Pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai menghargai kecemerlangannya dalam bidang kepakaran, pengalaman profesional yang luas serta sumbangan besar terhadap pembangunan industri dan kemajuan sektor kesihatan negara.
“Setiap pesakit mempunyai cerita yang berbeza. Apabila seseorang kehilangan keupayaan untuk berjalan, kesannya bukan hanya kepada fizikal.
“Malah, dampaknya itu turut mempengaruhi emosi, keluarga dan kehidupan seharian mereka,” katanya memulakan bicara bersama K-Kampus ketika ditemui.
Berkongsi lanjut, minat Prof. Mohd. Yazid terhadap bidang ortopedik bermula sejak di bangku universiti lagi.
Selepas memperoleh Ijazah Perubatan dan Sarjana Pembedahan Ortopedik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia memilih untuk mendalami kepakaran berkaitan kaki dan buku lali.
Pemilihan dan pengkhususannya itu kerana menyedari kecederaan pada bahagian tersebut sering memberi kesan besar terhadap fungsi keseluruhan tubuh manusia.
“Sejujurnya sejak sekolah rendah, ibu saya sering menggalakkan saya menjadi doktor, sering diucapkan dan saya percaya dalam doanya juga menyebut perkara sama.
“Saya pula minat ke arah bidang kejuruteraan, namun rezeki tidak memihak biarpun berkali-kali dipanggil temu duga untuk kelayakan menyambung pengajian.
“Akhirnya saya akur dan menerima harapan arwah ibu dengan sangat berlapang dada kerana dalam bidang kedoktoran juga tidak menghalang saya terlibat dalam bidang kejuruteraan secara profesional,” ujarnya.
Bagi memperkukuhkan kepakaran, dia menjalani latihan subkepakaran dalam bidang Foot & Ankle Surgery di Switzerland dan United Kingdom.
Pengalaman menimba ilmu di dua negara yang terkenal dengan sistem perubatan bertaraf dunia membuka perspektif baharu mengenai pendekatan rawatan moden yang mengutamakan bukti saintifik, teknologi terkini dan kerjasama pelbagai disiplin.
Tambahnya, rawatan terbaik tidak berakhir di dewan bedah kerana pesakit perlu melalui satu perjalanan yang lengkap bermula daripada proses diagnosis, pemilihan rawatan sesuai, pemulihan dan rehabilitasi sehingga mereka benar-benar mampu kembali jalani kehidupan normal.
Pendekatan tersebut kemudiannya dibawa pulang ke Malaysia dengan penyesuaian mengikut keperluan pesakit tempatan.
Prof. Mohd. Yazid percaya teknologi perubatan yang canggih hanya memberi makna apabila dapat dimanfaatkan oleh masyarakat secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang ekonomi.
Semakin lama berkhidmat, kian jelas di matanya bahawa cabaran terbesar bukanlah kekurangan teknologi atau kepakaran.
Sebaliknya, ramai pesakit datang mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah terlalu serius sehingga pilihan rawatan menjadi semakin terhad.
Keadaan itu amat ketara dalam kalangan pesakit diabetes. Ramai menganggap luka kecil pada kaki tidak memerlukan perhatian segera.
Ada yang memilih untuk merawat sendiri di rumah, manakala sebahagian lagi mendapatkan rawatan alternatif sebelum akhirnya hadir ke hospital apabila jangkitan sudah merebak.
Jelasnya, situasi kaki pesakit dapat diselamatkan daripada amputasi adalah melalui pendidikan kesihatan yang berterusan.
Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan kaki, kawalan paras gula dalam darah dan rawatan awal perlu dipertingkat supaya lebih banyak anggota dapat diselamatkan.
Kesedaran inilah yang akhirnya mencetuskan satu misi lebih besar dalam perjalanan kerjayanya.
Selain merawat pesakit di hospital, Prof. Mohd. Yazid mula memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi yang mampu menghasilkan penyelesaian lebih berkesan, lebih mudah diakses dan lebih mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Langkah itu menjadi titik permulaan kepada beberapa inovasi tempatan yang kini mendapat perhatian dalam dunia perubatan.
Hasrat itu melahirkan MY Woundcare Solution iaitu produk pencuci luka yang dibangunkan selepas Mohd. Yazid melihat ramai pesakit diabetes tidak mampu membeli produk penjagaan luka berkualiti kerana harganya yang tinggi.
“MY Woundcare Solution dibangunkan sebagai alternatif yang lebih mampu dimiliki tanpa mengorbankan aspek keselamatan dan keberkesanan.
“Produk ini membantu membersihkan luka, mengurangkan beban bakteria serta menyediakan persekitaran yang lebih baik bagi mempercepat proses penyembuhan,” katanya.
Harapannya hanya mahu memastikan lebih ramai pesakit memperoleh rawatan berkualiti tanpa dibebankan kos tinggi.
Walaupun hasil kajian klinikal menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, perjalanan membawa sesuatu inovasi ke pasaran bukanlah mudah.

Ujarnya, setiap produk perubatan perlu melalui pelbagai proses penilaian yang ketat bagi memastikan tahap keselamatan dan keberkesanannya benar-benar memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Dia mengakui cabaran terbesar ialah proses pengkomersialan yang melibatkan pematuhan regulatori, pengeluaran secara besar-besaran dan penerimaan pasaran.
Namun baginya, setiap proses itu amat penting kerana keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
Jelasnya, inovasi yang hebat bukan diukur pada kecanggihan teknologi semata-mata, namun sejauh mana ia mampu dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Sebab itu kebanyakan inovasi kami dibangunkan dengan mengambil kira keseimbangan antara kualiti, keberkesanan dan kos.
“Matlamat saya untuk memastikan lebih ramai pesakit khususnya golongan B40, mendapat akses kepada teknologi rawatan yang berkualiti,” ujarnya yang turut memperuntukkan masa menyelia dan mengadakan kelas khas jika diperlukan kepada pelajar peringkat sarjana.
Semangat yang sama turut mendorong insan hebat ini hasilkan MyB Prosthetic Limb iaitu kaki palsu mesra Muslim yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Idea itu tercetus selepas dia melihat kesukaran yang dialami pengguna prostesis beragama Islam ketika ingin duduk antara dua sujud, bertahiyat dan bersujud semasa menunaikan solat.
Melalui reka bentuk inovatif yang membolehkan pergerakan buku lali sehingga hampir 180 darjah, pengguna prostesis kini mempunyai kebebasan melakukan pergerakan yang sebelum ini sukar dicapai.
Inovasi tersebut bukan sekadar membantu seseorang berjalan semula malah mengembalikan keyakinan diri dan memudahkan mereka menjalani ibadah dengan lebih sempurna.
Akuinya, dia masih mengingati detik yang paling menyentuh hati apabila seorang pesakit hampir menitiskan air mata selepas berjaya sujud menggunakan prostesis tersebut buat kali pertama.
Pengalaman itu menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang kerjayanya sebagai penyelidik dan pakar bedah.
Dalam usaha mempertingkat ketepatan pembedahan, dia turut memperkenalkan penggunaan teknologi Realiti Maya (VR) dalam prosedur Total Ankle Replacement.
Teknologi itu membolehkan pakar bedah melakukan simulasi lebih awal bagi memahami struktur anatomi pesakit secara terperinci sebelum pembedahan sebenar dijalankan.
Pendekatan tersebut membantu menentukan kedudukan implan dengan lebih tepat, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan potensi pemulihan pesakit selepas menjalani pembedahan.
Melangkah ke hadapan, Prof. Mohd. Yazid optimis masa depan rawatan kaki diabetes di Malaysia akan terus berkembang seiring kemajuan teknologi.
Kecerdasan buatan (AI), teleperubatan, sensor pintar, percetakan 3D dan robotik dijangka memainkan peranan penting dalam membantu doktor mengenal pasti pesakit berisiko tinggi lebih awal serta meningkatkan keberkesanan rawatan.
Namun dia mengingatkan bahawa secanggih mana sekali pun sesuatu teknologi, kejayaan rawatan tetap bergantung kepada kesedaran masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan awal.
Matlamat akhirnya bukan sekadar merawat luka tetapi memastikan lebih ramai pesakit dapat mengekalkan anggota badan, bergerak dengan yakin dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.














