fbpx
Belanda

5 negara paling mahal kos perubatan, No.1 terlalu jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSES penjagaan kesihatan merupakan salah satu perkara asas yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Tanpanya, orang ramai akan mengalami krisis kesihatan dan segala urusan seharian akan terganggu termasuk menjejaskan ekonomi.

Namun, kos perubatan yang semakin meningkat saban hari sedikit sebanyak memberi tekanan kepada orang ramai terutama bagi mereka yang mengalami penyakit kronik dan memerlukan rawatan berpanjangan.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang mempunyai kos perubatan paling mahal di dunia seperti dilaporkan oleh Health System Tracker.

1- Amerika Syarikat

DI tangga pertama ialah Amerika Syarikat (AS) disebabkan faktor-faktor seperti prosedur perubatan yang mahal, kos farmaseutikal yang tinggi dan sistem penjagaan kesihatan yang kompleks. Perbelanjaan penggunaan kesihatan per kapita di AS ialah AS$14,775 (RM60,500), terlalu jauh dari negara-negara lain termasuk negara tempat kedua.

Kebanyakan penyedia penjagaan kesihatan di AS adalah milik persendirian tetapi terdapat beberapa hospital dan klinik awam. Penduduk di AS kebiasaannya mendapatkan insurans kesihatan mereka melalui majikan mereka. Insurans kesihatan di negara ini sangat penting kerana kosnya terlalu mahal. Oleh itu, jika melancong ke negara ini amat disarankan untuk mendapatkan perlindungan insurans perubatan perjalanan. kerana kos perubatan yang sangat tinggi bakal menjadi ‘bencana’ di luar kawalan kita.

2- Switzerland

SETERUSNYA, Switzerland mempunyai standard penjagaan kesihatan yang tinggi, sekali gus menjadikan harganya mahal. Sebahagiannya disebabkan oleh kos sara hidup dan penjagaan yang berkualiti tinggi. Selain itu, kebanyakan hospital Switzerland berada di kedudukan berkualiti tertinggi di dunia.

Perbelanjaan penggunaan kesihatan per kapita di Switzerland ialah AS$9,963 (RM40,800). Negara ini dilengkapi beberapa teknologi perubatan tercanggih. Walaupun ini menyumbang kepada penjagaan berkualiti tinggi, ia juga meningkatkan kos disebabkan oleh perbelanjaan untuk memperoleh dan menyelenggara peralatan canggih. Negara ini memiliki sistem insurans kesihatan wajib. Semua penduduk dikehendaki beli insurans kesihatan daripada syarikat insurans swasta.

3- Jerman

SISTEM penjagaan kesihatan di Jerman merupakan salah satu yang tertua dan paling komprehensif di dunia. Negara ini menawarkan penjagaan kesihatan yang sangat baik. Perbelanjaan penggunaan kesihatan per kapita di Jerman ialah AS$9,365 (RM38,300)

Jerman mengendalikan sistem penjagaan kesihatan dwi yang terdiri daripada insurans awam dan swasta. Kira-kira 90 peratus daripada populasi penduduk negara ini dilindungi oleh sistem Insurans Kesihatan Berkanun (SHI) yang dibiayai secara terbuka, manakala baki 10 peratus lagi memilih Insurans Kesihatan Swasta (PHI).

Sistem penjagaan kesihatan Jerman mengikut model Bismarck, iaitu insurans dibiayai melalui sumbangan daripada majikan dan pekerja.

4- Belanda

DI kedudukan keempat ialah Belanda yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan lengkap dengan menggabungkan akses universal bersama insurans terkawal dan perbelanjaan setiap orang yang tinggi.

Hampir semua orang yang tinggal di negara ini dilindungi untuk pelbagai perkhidmatan perubatan seperti insurans kesihatan mandatori di bawah Akta Insurans Kesihatan (Zvw) dan penjagaan primer adalah sangat disyorkan.

Perbelanjaan penggunaan kesihatan per kapita di Belanda ialah AS$8,436 (RM34,500). Perlindungan universal menggalakkan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang meluas, sementara tumpuan pada penjagaan pencegahan dan jangka panjang menambah perbelanjaan perubatan.

5- Sweden

KELIMA Sweden, negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan universal dan kebanyakannya dibiayai cukai yang meliputi hampir semua penduduk. Dasar negara ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan tetapi pihak berkuasa serantau menyediakan penjagaan yang paling banyak dengan majlis perbandaran menyediakan penjagaan jangka panjang untuk warga emas dan orang kurang upaya.

Perbelanjaan penggunaan kesihatan per kapita di Sweden ialah AS$7,871 (RM32,200). Faktor utama yang mendorong kos perubatan yang tinggi termasuklah liputan sejagat dan penggunaan perkhidmatan yang meluas, penjagaan jangka panjang untuk penduduk yang lebih tua, tenaga kerja perubatan yang bergaji tinggi dan penggunaan teknologi perubatan termaju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN