HULU TERENGGANU – Sebanyak 99.5 peratus daripada 43,600 peneroka Felda di Pahang telah selesai menerima surat hak milik tanah masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hanya kira-kira 200 kes masih berbaki kerana membabitkan isu warisan, namun ia dijangka dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri Pahang dalam memastikan kebajikan peneroka Felda terus diberi perhatian dengan menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah yang telah lama dibangkitkan.
“Kalau kita lihat permohonan atau permintaan peneroka supaya mereka diberikan surat tanah milik, penyelesaiannya sudah lebih kurang 99.5 peratus.
“Daripada 43,600 orang peneroka, hanya tinggal lebih 200 kes yang melibatkan masalah warisan dan insya-Allah akan diselesaikan pada tahun ini juga,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, isu pemilikan tanah peneroka Felda menjadi antara perkara diberi perhatian kerajaan negeri Pahang kerana ia melibatkan hak serta masa depan keluarga peneroka.
Naib Presiden UMNO itu berkata, kerajaan negeri Pahang juga memberi perhatian terhadap keperluan generasi kedua Felda dengan menyediakan kira-kira 16,000 blok tapak rumah bagi memastikan anak-anak peneroka mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri. – KOSMO! ONLINE














