fbpx
Sharul Nizam tidak pernah jemu membakar sate enam hari seminggu dari pagi sehingga malam bagi memastikan kepuasan pelanggan yang hadir.

Transformasi jenama Satay Ali dari gerai kepada restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Mewarisi perniagaan sate daripada arwah bapa mertua bukan satu perkara yang mudah bagi seorang bekas pekerja berkaitan industri minyak dan gas.

Namun, minat mendalam berkaitan dunia gastronomi menyebabkan Sharul Nizam Hussain, 39, mengambil tindakan nekad untuk berniaga secara kecil-kecilan di gerai sebelum berkembang ke restoran pada 2023.

“Sayang sekiranya tidak diteruskan selepas bapa mertua saya me­ninggal dunia kerana ramai pelanggannya bertanya mengenai Satay Ali yang telah bertapak sekian lama di Tanjung Malim sejak tahun 1992.

“Saya nekad berhenti kerja dalam bidang berkaitan cari gali minyak dan gas untuk meneruskan legasi keluarga sejak 2018 sebelum akhirnya membuka restoran enam tahun kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, strategi perniagaannya yang unik iaitu menjual sate ayam, lembu, kambing dan perut lembu bermula waktu pagi ternya­ta berkesan bagi menarik pelanggan berbilang kaum.

“Sate ini ramai peminatnya tanpa mengira peringkat umur dan mereka gemar untuk menikmati­nya sejak awal pagi, sama seperti kebanyakan rakyat Johor.

“Malah, kami turut mendapat tempahan pelancong antarabangsa dari Singapura, China dan Indonesia yang menetap di sebuah resort di Tanjung Malim secara konsisten, selain pelajar antarabangsa UniversitI Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.

Sharul Nizam memberitahu, dia mengambil pendekatan seperti peniaga kaum India dan Cina tempatan iaitu memastikan stok sate untuk jualan serta tempahan sentiasa mencukupi.

“Kami hanya tutup setiap Selasa namun tetap menerima tempahan. Saya mempunyai pekerja yang fokus untuk memproses sate mentah dan stok dipastikan sentiasa mencukupi serta disimpan dalam lapan buah peti sejuk beku.

“Tiada istilah sate habis bagi setiap pelanggan yang hadir ke­rana untuk memastikan mereka kekal setia bukan mudah lagi-lagi dengan persaingan sengit dalam industri makanan ini,” katanya.

Jelasnya yang mempunyai tiga zuriat, bantuan Jabatan Pertanian Perak berbentuk geran bernilai RM30,000 berbentuk mesin pengedap, mesin pensterilan dan meja besi banyak membantu memperkembangkan perniagaannya.

“Jabatan Pertanian Perak turut memberikan nasihat kepada saya untuk memperkenalkan produk hiliran lain seperti kuah kacang, rendang tok dan rendang dendeng yang mendapat permintaan tinggi terutamanya semasa musim pera­yaan dan cuti persekolahan.

“Syukur pendapatan kasar bulanan mampu mencecah lima angka yang bukan sekadar cukup untuk perbelanjaan keluarga, malah bagi memastikan operasi restoran pada tahap kompetitif,” katanya.

Perkembangan perniagaan Satay Ali sejajar dengan konsep pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche pembangunan daerah Muallim, yang mana antara tum­pu­an utamanya ialah perniagaan agromakanan dan perkhidmatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN