fbpx
SIMULASI menyelamat mangsa dalam Latih Amal Bencana Udara Exercise Laksamana 2026 di LTAM, Batu Berendam, Melaka hari ini.

Gempar sangka pesawat terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Orang ramai yang berada berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini gempar apabila menyangka sebuah pesawat telah terhempas di kawasan tersebut.

Keadaan itu dipercayai berpunca daripada kepulan asap tebal dan deretan jentera penyelamat yang bergegas ke lokasi sehingga mencetuskan kebimbangan berlaku nahas udara.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji berkata, situasi itu bagaimanapun hanyalah simulasi Latih Amal Bencana Udara Exercise Laksamana 2026 yang dianjurkan Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB) dengan kerjasama JBPM serta pelbagai agensi berkaitan.

Jelasnya, ia bagi menguji menguji keberkesanan Pelan Kecemasan Aerodrom (Aerodrome Emergency Plan), selain memastikan semua agensi mampu bertindak pantas, cekap dan bersepadu sekiranya berlaku bencana udara sebenar.

“Latihan ini dimulakan pada 21 Julai lalu menerusi Tabletop Exercise (TTX) sebelum diteruskan hari ini dengan Full Scale Exercise (FSX) yang mensimulasikan operasi menyelamat mangsa, pemadaman kebakaran pesawat dan pengurusan lokasi kejadian.

“Ia bukan sahaja menguji keupayaan operasi bomba, malah mengukur tahap koordinasi, komunikasi dan kerjasama semua agensi penyelamat yang terlibat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, bagi menjayakan latihan itu, JBPM Melaka melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh telah menggerakkan tiga aset utama iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Water Tanker.

Jelasnya, aset tersebut digunakan bagi menguji keupayaan pemadaman kebakaran pesawat, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa, pembekalan air secara berterusan serta sokongan kepada pasukan Aircraft Rescue and Fire Fighting (ARFF).

Mengulas lanjut beliau berkata, agensi yang terlibat sama ialah Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Melaka serta beberapa agensi teknikal lain.

“Kejayaan menguruskan bencana udara tidak bergantung kepada satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu, komunikasi yang berkesan dan koordinasi yang mantap.

“Exercise Laksamana 2026 membuktikan semua agensi sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan keselamatan nyawa dan kelangsungan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sekiranya berlaku insiden sebenar,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN