PETALING JAYA – “Abang, kita tak mandul seperti orang kata,”
Itulah kata-kata pertama diluahkan Nurul Atikah Mohd. Khalid, 38, kepada suaminya, Mohammad Azizi Esak, 38, selepas mengetahui dirinya hamil setelah 13 tahun menanti kehadiran zuriat.
Penantian pasangan itu akhirnya berakhir apabila Nurul Atikah selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada 3 Julai lalu.
Menurut Nurul Atikah, dia sebenarnya sudah lama belajar menerima takdir selepas pelbagai usaha termasuk menjalani rawatan kesuburan tidak membuahkan hasil.
Katanya, meskipun jauh di sudut hati tetap menyimpan keinginan untuk bergelar ibu, dia bersyukur kerana suami dan ahli keluarga tidak pernah mendesak atau memberi tekanan mengenai soal zuriat.
“Bohong kalau saya kata langsung tak ada perasaan nak anak. Sebagai wanita, perasaan itu memang ada, tetapi suami dan keluarga tidak pernah mendesak.
“Selepas bertahun-tahun, saya belajar untuk menerima bahawa mungkin belum tiba masanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bagaimanapun, Nurul Atikah mengakui kata-kata segelintir pihak yang melabelkan mereka sebagai pasangan mandul pernah memberi tekanan, terutama apabila perkahwinan memasuki tahun ke-10.
Menurutnya, pada ketika itu dia memilih untuk mengubah cara hidup dan tidak lagi membiarkan soal zuriat menguasai kebahagiaan rumah tangga.
“Saya ada rakan pejabat yang sudah lebih 10 tahun tidak mempunyai anak, tetapi dia sentiasa ceria dan ‘happy go lucky’. Daripada situ saya belajar untuk reda dan gembirakan diri sendiri.
“Saya cakap dengan suami, setiap bulan kita ambil sehari cuti dan keluar berjalan-jalan. Lebih setahun kami buat begitu. Ketika itu saya benar-benar reda,” ujarnya.
Nurul Atikah yang bekerja sebagai kerani sekolah itu berkata, dia hanya menyedari dirinya hamil selepas dua bulan tidak datang haid, namun pada awalnya tidak mengalami tanda-tanda kehamilan yang ketara.
“Saya terbau kawan pejabat bawa nasi dan ikan goreng, petang itu saya mula loya dan terus muntah. Saya tergerak hati untuk membeli kit ujian kehamilan.
“Selama ini setiap kali buat ujian, keputusannya negatif. Kali itu, buat pertama kali saya nampak dua garisan yang sangat terang. Saya terlalu teruja dan menangis kegembiraan, kemudian beritahu suami dia pun terkejut tidak sangka,” katanya.
Sebelum ini video dimuat naik Nurul Atikah di TikTok membuat kejutan buat keluarganya meraih lebih 607,900 tontonan, 62,100 tanda suka dan dikongsi semula di semua platform media sosial.
Nurul Atikah berkata, dia tidak menyangka video imbas kembali perjalanan mendapatkan zuriat itu tular kerana pada awalnya hanya mahu berkongsi kenangan bersama kenalan.
“Dahulu saya selalu komen pada video pasangan TTC dan tumpang gembira dengan rezeki mereka. Tak sangka kali ini video saya pula menjadi tular.
“Jadi, buat semua pasangan yang sedang menanti zuriat, percayalah rezeki itu datang daripada Allah. Tidak cepat dan tidak lambat, tetapi tepat pada masanya. Kalau belum dikurniakan di dunia, pasti ada ganjarannya di akhirat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














