NEW YORK – Kejayaan membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2026 meletakkan dua bintang utama Sepanyol, Lamine Yamal and Rodri sebagai calon pilihan untuk menerima Anugerah Ballon d’Or.
Peranan yang dimainkan dua pemain ini buat La Roja cukup besar dan ia bakal menjadi detik terbaik buat Rodri mengulangi kejayaan peribadinya ketika dianugerahkan sebagai penerima anugerah itu pada 2024.
Walaupun tidak banyak membantu Manchester City ekoran kecederaan, Rodri diumumkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia 2026 selepas tampil cemerlang mengemudi barisan tengah Sepanyol
“Memenangi Piala Dunia akan membantu (peluang menang Ballon d’Or). Untuk menang, pemain perlu menjadi pemain terbaik sepanjang musim, bukan sekadar di pentas Piala Dunia,” menurut kenyataan penganjur Ballon d’Or.
Yamal pula sedang menikmati musim penuh gemilang bersama Barcelona apabila meledak 24 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan untuk menjulang gelaran La Liga dan Piala Super Sepanyol.
Malah, trofi Piala Dunia menambah kekuatan ‘resume’ buat Yamal untuk bersaing merebut anugerah pemain terbaik dunia yang paling berprestij tersebut.
Selain Yamal dan Rodri, persaingan untuk merebut Ballon d’Or kali ini juga membabitkan lebih ramai pemain antaranya Kylian Mbappe, Harry Kane, Michael Olise dan Ousmane Dembele.
Mbappe mempertahankan Anugerah Kasut Emas Piala Dunia dan turut muncul penjaring terbanyak La Liga serta Liga Juara-Juara, manakala Kane cemerlang meledak lebih 60 gol sepanjang musim ini bersama Bayern Munich. – AGENSI














