KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji menitik berat kesedaran kesiapsiagaan kecergasan fizikal dan mental bakal haji sebelum berlepas ke Tanah Suci, menyedari kemampuan sudut kesihatan menjadi salah satu syarat istito’ah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, sehubungan itu, pelbagai program dan penambahbaikan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan bakal jemaah haji.
Menurutnya, antaranya termasuk pemberian notifikasi peringatan awal seawal dua tahun sebelum jangkaan giliran haji, bagi memberi tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi meliputi aspek keseluruhan termasuk pemeriksaan kesihatan kendiri dan amalan gaya hidup lebih sihat.
“Selain itu, Tabung Haji telah menambah baik modul bimbingan kesihatan dalam siri program bimbingan haji meliputi Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.
“Bermula pada tahun 2025, Tabung Haji memperkenalkan program Thoriq Ya Hajj iaitu cabaran berjalan kaki secara maya (virtual walk challenge) untuk semua bakal haji yang menghadiri Kursus Asas Haji bagi memupuk gaya hidup aktif di samping meningkatkan tahap kecergasan dan stamina,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berhubung langkah kerajaan memperkukuh kesedaran kesiapsiagaan fizikal, mental dan kesihatan jemaah haji serta umrah di Dewan Negara di sini hari ini.
Zulkifli berkata, usaha meningkatkan kesedaran turut diperkukuh dan diperluas melalui peringatan berkala kepada bakal jemaah haji menerusi hebahan maklumat seperti temu bual media bersama pakar kesihatan, infografik dan kandungan media sosial.
“Komitmen inisiatif ini diteruskan sepanjang operasi haji di Tanah Suci di mana Tabung Haji menempatkan petugas perubatan yang bertauliah daripada Kementerian Kesihatan merangkumi pakar psikologi, fisioterapi dan kaunseling.
“Hal ini bagi memastikan kesihatan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji sentiasa terpelihara sepanjang musim haji,” katanya.
Katanya, semua jemaah haji Muassasah Tabung Haji turut diberikan perlindungan takaful sepanjang tempoh operasi haji meliputi manfaat berkaitan kematian, kemalangan, rawatan, kelewatan, penerbangan, kehilangan bagasi/barangan serta bantuan pengebumian, tertakluk kepada terma dan syarat perlindungan. – KOSMO! ONLINE














