TANAH MERAH – Kemalangan yang mengorbankan tiga lelaki yang menaiki sebuah lori membawa muatan ayam dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan tersebut mengantuk sebelum terbabas merempuh treler diparkir di tepi Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Batu 6, di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu, pemandu lori, Mohammad Zakwan Mohd. Nor, 25, bersama pemandu kedua, Norazeman Abdul Aziz, 42, dan kelindan, Mohd. Haikal Hanifah, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, lori dinaiki ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu lori itu dipercayai mengantuk sebelum kenderaan dipandu terbabas merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa lelaki tersepit di dalam lori berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang dari Kedah selepas mengambil bekalan ayam sebelum lori dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Batu 6 di sini. – KOSMO! ONLINE














