KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) terus memperkukuh pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil getah menghadapi ketidaktentuan harga getah asli di pasaran global.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, Risda sentiasa memantau perkembangan harga getah dunia serta faktor luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dan turun naik harga petroleum yang boleh mempengaruhi permintaan serta harga getah asli.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM) yang menyediakan bantuan input pertanian seperti baja, peralatan menoreh, bahan rangsangan lateks dan kerja-kerja penyelenggaraan kebun.
“Bantuan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran yang ditanggung pekebun kecil, malah meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mustafa Musa mengenai usaha Risda membantu pekebun kecil mengimbangi perubahan harga getah asli dan kos tuaian hasil.
Rubiah berkata, Risda turut melaksanakan Program Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET) melalui penyediaan Depo Pengumpulan Skrap dan Lateks bagi mengumpulkan hasil pekebun kecil sebelum dipasarkan secara pukal.
Katanya, pendekatan itu dapat mengurangkan kos pengangkutan, meningkatkan kecekapan logistik serta memperkukuh kedudukan tawar-menawar pekebun kecil dalam pasaran. – KOSMO! ONLINE














