KEMUNCULAN Generative Artificial Intelligence (Gen AI) telah mengubah landskap penciptaan kandungan secara drastik.
Jika suatu ketika dahulu, teknologi hanya berperanan sebagai alat sokongan, kini Gen AI dilihat sebagai ‘rakan kolaborasi’ yang mampu menghasilkan teks, imej, muzik, video dan reka bentuk menyerupai hasil kreativiti manusia.
Keupayaan ini membuka ruang inovasi yang luas kepada individu dan organisasi, namun ia menimbulkan persoalan penting berkaitan hak cipta, pemilikan karya serta tahap keaslian sesuatu produk yang dihasilkan dengan bantuan Gen AI.
Menurut pembina ekosistem berpangkalan di Jabatan Penyelidikan dan Perusahaan, Pemindahan Pengetahuan dan Pengkomersialan, Universiti Taylor, Nor Farah Natasha Tajuddin, persoalan utama yang semakin mendapat perhatian adalah sejauh mana seseorang pencipta boleh menuntut hak milik terhadap hasil yang dijana menggunakan Gen AI.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan aspek teknologi dan undang-undang, malah menyentuh persoalan etika.
“Selama ini, sistem harta intelek di seluruh dunia dibangunkan berasaskan prinsip bahawa kreativiti lahir daripada daya cipta manusia.
“Namun, dengan kemajuan pesat pembelajaran mesin dan model AI generatif, sistem perundangan kini berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu yang berkembang jauh lebih pantas berbanding penggubalan dasar,” katanya dalam satu perkongsian artikel bersama K-Tekno baru-baru ini.
Tambahnya, pada masa ini, kebanyakan negara termasuk Malaysia masih mengiktiraf manusia sebagai satu-satunya pencipta yang layak menerima perlindungan hak cipta.
Pendirian tersebut selaras dengan prinsip World Intellectual Property Organization (WIPO) serta Perjanjian Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPS) yang menetapkan bahawa hak kepengarangan hanya boleh diberikan kepada pencipta manusia.

Ini bermakna, hasil yang dijana sepenuhnya oleh AI tanpa campur tangan kreatif manusia berkemungkinan tidak memenuhi syarat untuk menikmati perlindungan hak cipta.
Kongsi Nor Farah Natasha, kebimbangan terhadap penyalahgunaan Gen AI turut diperkukuhkan menerusi beberapa tindakan undang-undang berprofil tinggi.
“Antara kes yang menjadi perhatian adalah saman tindakan kelas di Amerika Syarikat melibatkan Bartz lawan Anthropic pada tahun 2024 hingga 2025, di mana tiga penulis bukan fiksyen mendakwa syarikat tersebut menggunakan karya mereka tanpa kebenaran untuk melatih model AI Claude.
“Mahkamah memutuskan bahawa penggunaan buku yang diperoleh secara sah bagi tujuan latihan boleh dianggap sebagai penggunaan transformasi yang adil dalam keadaan tertentu.
“Namun begitu, mahkamah turut menegaskan bahawa Anthropic tidak mempunyai hak menggunakan berjuta-juta salinan cetak rompak yang diperoleh daripada pangkalan data haram sebagai bahan latihan AI,” ujarnya.
Ujarnya, walaupun Anthropic bersetuju memusnahkan salinan cetak rompak yang dimilikinya, namun keputusan tersebut tidak menutup ruang kepada tindakan undang-undang lain berkaitan kemungkinan pelanggaran hak cipta pada masa hadapan.
Malah, syarikat itu turut berdepan beberapa saman lain daripada syarikat rakaman muzik utama.
Kes itu menjadi peringatan bahawa penggunaan bahan berhak cipta untuk melatih model AI boleh membawa implikasi kewangan dan reputasi yang besar sekiranya tidak mematuhi undang-undang.
Dalam konteks penggunaan Gen AI secara bertanggungjawab, Nor Farah Natasha menjelaskan, pakar menegaskan perlunya membezakan antara hasil AI-assisted dan AI-generated.
AI-assisted merujuk kepada penggunaan AI sebagai alat yang membantu manusia menghasilkan karya.
Manakala AI-generated pula merujuk kepada kandungan dihasilkan hampir sepenuhnya oleh AI dengan campur tangan manusia yang minimum.
Perbezaan itu penting kerana tahap penglibatan manusia menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada sesuatu karya layak mendapat perlindungan hak cipta atau tidak.
“Bagi karya yang dihasilkan dengan bantuan AI, pencipta disaran menyimpan rekod lengkap sepanjang proses kreatif.
“Antaranya termasuk tujuan arahan (prompt) yang diberikan kepada AI, proses pemilihan kandungan, suntingan yang dilakukan serta keputusan kreatif yang diambil sebelum sesuatu karya diterbitkan,” tambahnya.
Ujarnya, dokumentasi seperti ini bukan sahaja membantu membuktikan keaslian hasil kerja, malah boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku pertikaian berkaitan hak cipta pada masa hadapan.














