PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Bera),” katanya.
Keadaan sama turut berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru).
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Sri Aman (Sri Aman), Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu, Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song), Bintulu dan Miri (Subis dan Miri).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














