PEMAIN badminton negara, AaronChia tidak berdepan sebarang masalah menerima percaturan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membuat keputusan membentuk kombinasi baharu.
Perubahan itu menyaksikan dia akan bergandingan dengan Aaron Tai sebelum membentuk kombinasi bersama Tee Kai Wun pada siri jelajah Eropah dengan semua gandingan itu akan dinilai sehingga penghujung tahun.
Menurut Aaron, dia dijangka bergandingan bersama Aaron Tai bagi tiga atau empat kejohanan terlebih dahulu sebelum perancangan asal untuk bergandingan dengan Tee Kai Wun dapat direalisasikan selepas isu mata kelayakan diselesaikan.
“Bagi saya, di BAM kami memang ikut keputusan jurulatih. Jurulatih sudah berbincang dengan Presiden dan semua pihak, jadi saya tak rasa ia sesuatu yang susah untuk diterima.
“Saya memang tak kisah digandingkan dengan sesiapa. Saya tetap akan beri 100 peratus di dalam gelanggang. Macam dalam Piala Thomas juga, walaupun scratch pair, bila masuk gelanggang kita tetap kena beri segala-galanya,” katanya.
Aaron berkata, walaupun perubahan itu berlaku selepas hampir sedekad bergandingan bersama Soh Wooi Yik, dia menganggap pengalaman membentuk beregu sementara sebagai sesuatu yang baharu dalam kariernya.
Aaron dijadualkan memulakan cabaran bersama Aaron Tai pada Terbuka China bertaraf Super 1000 minggu depan sebelum meneruskan gandingan itu di Terbuka Taiwan dan Korea Masters.
Selepas itu beliau akan berpasangan dengan Kai Wun dan telah disenaraikan menyertai jelajah Eropah pada Oktober ini membabitkan Terbuka Arctic, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.














