CARACAS – Gempa bumi berganda yang melanda Venezuela bulan lalu membunuh lebih 5,000 orang, kata beberapa pegawai sambil menambah, Caracas mendapat pakej ratusan juta dolar daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk kerja pembinaan semula.
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 dan 7.5 itu berlaku selang seminit pada 24 Jun lalu. Bencana itu memusnahkan negeri tepi pantai La Guaira di utara Caracas.
“Bencana ini mengorbankan 5,069 orang,” kata ketua Perhimpunan Kebangsaan(Parlimen), Jorge Rodriguez di laman Telegram, dengan kebanyakan kemalangan jiwa berlaku di kawasan pantai.
Menurutnya, jumlah mangsa cedera tidak berubah seramai 16,740 orang dengan kebanyakan mereka dibenarkan keluar dari hospital.
Lewat kelmarin, Presiden Interim Delcy Rodriguez berkata, Venezuela mendapatkan pinjaman AS$346 juta daripada IMF (RM1.4 bilion) untuk membina semua infrastruktur yang musnah.
Kira-kira 20,000 orang yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi kini berlindung di kem-kem sementara yang sesak, kebanyakannya kekurangan bekalan air dan sistem sanitasi sempurna.
IMF dan Bank Dunia mengumumkan pada April lalu untuk menyambung semula hubungan dengan Venezuela, selepas Amerika Syarikat menggulingkan Presiden Nicolas Maduro dalam serangan tentera, Januari lalu.
Hubungan Caracas dengan dua institusi itu dibekukan sejak 2019. – AFP














