ALOR SETAR – Seorang pemuda tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan detik cemas bergelut dengan arus deras sebelum pegangan kakaknya terlepas dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, Kulim dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia iaitu Nur Atikah Abdullah, 28; sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3, serta seorang lagi mangsa daripada keluarga berbeza, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Adik kepada Nur Atikah, Nur Afizul, 21, yang menceritakan semula kejadian berkata, ketika kejadian dia baru tiba dari Pulau Pinang untuk menyertai keluarganya berkelah di sungai tersebut kira-kira 30 minit sebelum kepala air melanda secara tiba-tiba.
Katanya, sebahagian ahli keluarga lain termasuk kakaknya yang datang dari Mergong, Alor Setar dan Jitra tiba di lokasi lebih awal dengan cuaca ketika itu dalam keadaan baik.
“Kakak dan kira-kira 15 ahli keluarga lain memang nampak gembira dan ramai yang mandi termasuk adik-adik serta anak saudara saya yang masih kecil,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini awal pagi tadi.
Menurutnya, dia kemudian menunggang motosikal menghala ke bahagian atas untuk mencari lokasi lain untuk mandi kerana di kawasan berkenaan cetek iaitu paras lutut orang dewasa sahaja.
“Semasa dalam perjalanan itu, saya ternampak kepala air datang dan terus berpatah balik kerana sudah rasa tidak sedap hati dan sebaik tiba, keadaan sudah jadi kelam-kabut.
“Saya nampak kakak sedang bergelut dalam arus sambil memegang sepupu kami yang berusia tiga tahun. Saya terus masuk dalam sungai dan pegang kakak sebelum kakak berpaut pada badan saya tetapi pegangan terlepas kerana air terlalu kuat serta terkena batang pokok hanyut,” ujarnya.
Katanya, keadaan cemas itu berlaku dalam masa kira-kira seminit sebelum kakaknya hilang dihanyutkan arus deras.
“Air terlalu kuat, saya pun tak berdaya dan hampir lemas. Air masuk dalam mulut dan dalam seminit sahaja kami bergelut sebelum saya terlepas daripada pegangan kakak,” ujarnya.
Nur Afizul berkata, selepas berjaya menyelamatkan diri, dia menyusuri tebing sungai dan sempat menyelamatkan dua remaja perempuan berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun yang berpaut pada akar pokok.
“Saya dengar ada seorang lelaki menjerit meminta tolong untuk selamatkan anak perempuan dan anak saudaranya. Saya nampak ada dua perempuan berpaut pada ranting pokok sebelum selamatkan mereka.
“Harapan saya ketika itu adalah mangsa tersebut adalah kakak saya tetapi bukan. Selepas selamatkan mereka, saya bersama penduduk kampung berlari ke bawah lagi untuk cari kakak,” jelasnya.
Katanya, dia kemudian ternampak kakaknya yang telah dinaikkan ke darat dan cuba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira setengah jam.
“Waktu saya jumpa, tangan kakak dah biru, perut dah kembung dan mata pun dah tak bergerak. Saya buat CPR sambil panggil ‘kakak’ berkali-kali, tetapi dia langsung tidak memberi tindak balas sebelum disahkan telah meninggal dunia.
“Kepala kakak ada luka berdarah dipercayai akibat terkena batu semasa dihanyutkan arus deras,” katanya yang turut mengalami luka kecil pada kaki.
Kata Nur Afizul, arwah Nur Atikah merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan mereka sangat rapat sejak kecil.
“Kami memang selalu balik kampung setiap hujung minggu. Kakak berniaga keropok lekor dan mempunyai seorang anak. Tak sangka pertemuan kali ini menjadi kenangan terakhir bersama kakak,” katanya.
Tambahnya, dia masih dalam keadaan trauma kerana masih terbayang wajah kakaknya yang sangat gembira berkelah bersama keluarga bersempena hari ulang tahun kelahiran anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.
“Saya juga difahamkan bahawa siren di sini rosak menyebabkan tiada amaran kepada pengunjung sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan keseronokan pengunjung mandi-manda di Sungai Sedim, Karangan di sini bertukar tragedi apabila tiga orang ditemukan mati lemas akibat dihanyutkan kepala air, semalam. – KOSMO! ONLINE














