JASIN – Sebanyak 400 kilogram pelbagai jenis ikan yang diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Jeti Nelayan Kuala Sempang di sini, hari ini licin dalam tempoh kurang 10 minit.
Sambutan luar biasa daripada penduduk menyebabkan bekalan ikan habis sejurus agihan bermula apabila orang ramai mula beratur seawal pagi bagi mendapatkan sumbangan berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, program itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk terus mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Saya harap dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu penduduk menyediakan juadah tengah hari dan menikmatinya bersama keluarga tersayang.
“Walaupun tidak seberapa, kita mahu rakyat turut merasai manfaat daripada program yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, setiap penerima membawa pulang kira-kira 1.5 kilogram ikan bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk menikmati agihan tersebut.
Terdahulu, Ab. Rauf meluangkan masa bersarapan bersama komuniti nelayan Kuala Sempang yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM200 kepada setiap nelayan bagi pembelian jaring sebagai usaha membantu meningkatkan hasil tangkapan selain mengurangkan kos operasi- KOSMO! ONLINE














