PETALING JAYA – Lebih 3,400 penduduk di kawasan pedalaman Sabah, Kedah dan Kelantan kini menikmati akses kepada bekalan air bersih menerusi Projek Water4Life yang dilaksanakan Pertubuhan Ihsanku Malaysia (Ihsanku) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Inisiatif di bawah Program Ihsan Jariah itu bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat, malah membantu memperkukuh produktiviti harian, mengurangkan beban mendapatkan sumber air dan menyokong pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Muhammad Syariffuddin Supeni berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi membantu komuniti pedalaman yang berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi, tidak stabil dan sukar diakses.
Menurutnya, penyediaan sistem air boring dan tangki simpanan air merupakan penyelesaian jangka panjang yang mampu memberi manfaat berterusan kepada penduduk serta institusi pendidikan agama.
“Air bersih adalah keperluan asas yang sepatutnya tidak menjadi kemewahan. Bagi komuniti di pulau terpencil dan pelajar pondok yang kita bantu, sistem ini bukan sekadar projek pembinaan, tetapi jaminan kelangsungan hidup, kesihatan dan kesinambungan pembelajaran mereka.
“Kami akan terus memperluaskan usaha ini ke lebih banyak lokasi yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Sabah, projek itu memberi manfaat kepada 1,200 penduduk di Pulau Sakar, Lahad Datu, Rumah Ngaji Semporna dan Pulau Jambongan, Sandakan yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih akibat kekangan infrastruktur.
Di Kedah pula, seramai 1,700 penerima manfaat terdiri daripada pelajar dan pengurusan empat institusi pendidikan agama di Baling dan Kuala Ketil menerima kemudahan tersebut, sekali gus membantu melancarkan urusan pembelajaran, penyediaan makanan serta kebersihan premis.
Sementara itu, Pondok Darul Ihya di Pasir Mas, Kelantan turut menerima kemudahan sama yang memberi manfaat kepada kira-kira 500 penghuni dan penduduk sekitar.
Pelaksanaan projek itu dilihat bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan air, malah membuka ruang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan dengan meningkatkan kesejahteraan, kesihatan dan produktiviti penduduk di kawasan pedalaman.-KOSMO! ONLINE














