PENDEDAHAN ekstrem kepada cuaca sejuk melampau boleh menyebabkan kecederaan radang dingin (frostbite) yang serius sehingga mampu meragut fungsi anggota badan manusia secara kekal.
Keadaan severe pan-digital frostbite (radang dingin pada jari tangan) merupakan salah satu kes perubatan yang jarang berlaku di Malaysia yang beriklim khatulistiwa sepanjang tahun.
Berdasarkan kajian kes pakar perubatan tempatan, frostbite merupakan pembekuan tisu badan akibat thrombosis atau sekatan saluran darah mikro yang menghentikan bekalan oksigen ke tisu-tisu hujung badan.
Isu perubatan yang jarang ditemui itu mendapat perhatian susulan kejayaan sekumpulan pakar menyelamatkan fungsi tangan seorang pendaki gunung, RJ Nagarajan yang mengalami kecederaan radang dingin selepas menawan Gunung Everest.
Nagarajan mengalami frostbite di kedua-dua tangan dan kaki serta pipi kesan cuaca sejuk ekstrem melebihi 40 darjah Celcius.
Pakar Perunding Ortopedik (Pembedahan Tangan dan Mikrosurgeri) Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC), Prof. Dr. Shalimar Abdullah menjelaskan bahawa frostbite biasanya dikesan apabila bahagian hujung anggota badan mula menunjukkan perubahan fizikal yang ketara, selain timbul rasa tidak selesa secara berperingkat.
“Selepas itu, rasa sakit dan pertukaran warna pada tangan pesakit akan berlaku, tetapi mungkin ramai orang tidak nampak kerana sedang sibuk melakukan perkara lain.
“Pada awal-awal, mungkin warna pucat dahulu, kemudiannya menjadi warna biru, lama-kelamaan jika tidak dirawat, ia menjadi hitam yang menandakan tisu sudah mati,” katanya ketika ditemui di UKMSC, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif UKMSC, Dr. Adzim Poh Yuen Wen turut berkata, kejayaan kes itu membuktikan kecederaan frostbite yang teruk kini boleh dirawat dan ditangani dengan berkesan menerusi inovasi rawatan rekonstruksi menyeluruh.

“Falsafah rawatan kami adalah untuk memelihara fungsi tangan, dan bukan sekadar membuang tisu yang rosak.
“Walaupun hanya sebahagian kecil jari dapat diselamatkan serta sendi asal dikekalkan, namun ia mampu memberikan impak besar terhadap keupayaan pesakit untuk berdikari dan menikmati kualiti hidup lebih baik,” ujarnya.
Menurut Dr. Adzim, kes kecederaan seperti itu memerlukan prosedur peringkat pertama, di mana pasukan ortopedik membuang semua tisu mati melalui kaedah pemotongan minimum.
Langkah tersebut penting bagi mengekalkan baki tulang pangkal jari sepanjang 1.5 hingga 2 sentimeter yang dikesan masih mempunyai aliran darah dan saraf sihat.
Seterusnya, mereka akan melakukan proses hirisan pada sebahagian kulit dan lapisan lemak di bawah perut pesakit tanpa memutuskan saluran darah asal bagi memastikan bekalan darah kekal aktif.
“Baki anggota tangan bersama tulang tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam lapisan kulit dan lemak perut pesakit selama dua minggu setengah hingga tiga minggu. Kemudian, ia diceraikan semula,” katanya.
Melalui kaedah itu, saluran darah baharu dari perut dibiarkan tumbuh masuk secara semula jadi untuk membekalkan nutrisi ke dalam baki pangkal jari pesakit.
“Pada peringkat pertama ini, apabila jari kelihatan seperti sarung tangan ‘mitten’, maknanya jari sudah disatukan.
“Selepas beberapa minggu atau bulan kemudian, kami ceraikan satu demi satu.
“Langkah ini dilakukan bagi memastikan pesakit boleh memakai prostesis.
“Walaupun Nagarajan dijangka berada di hospital selama dua bulan pada mulanya, namun akhirnya dia memerlukan masa 10 bulan untuk selesai semua rawatan pembedahan ini,” tambahnya.
Keseluruhan proses rawatan rekonstruktif yang dilakukan ke atas Nagarajan itu merangkumi enam fasa pembedahan utama. Ini termasuk prosedur rekonstruksi, pemisahan jari, scar revision (pembetulan parut) serta tissue debulking (pengurangan tisu).
Langkah memelihara sebahagian daripada lima jari kanan itu berjaya mengekalkan fungsi penting tangan berbanding kaedah amputasi keseluruhan.
Kini, pesakit telah menggunakan prostesis teknologi canggih MCP Driver bagi membolehkannya menjalankan aktiviti harian secara berdikari, termasuk menulis dan membuka penutup botol.














