ATLANTA – Argentina semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan England 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Atlanta awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad La Albiceleste mempamerkan kebangkitan dramatik menerusi jaringan Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez, sekali gus memadam jaringan awal dilakukan Anthony Gordon.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata, semangat juang tinggi pemain selain harapan menggunung diletakkan penyokong menjadi faktor utama mereka bangkit dan menyingkirkan skuad The Three Lions.
“Saya anggap Argentina merupakan satu pasukan yang sangat unik kerana rakyat Argentina menjadi sumber inspirasi kami untuk mencatat kemenangan. Mereka tidak pernah putus harapan dengan pasukan ini.
“Secara jujur, saya masih terkejut dan sukar untuk gambarkan dengan kata-kata selepas memenangi perlawanan hari ini (semalam). Pemain-pemain tidak pernah mengecewakan saya dan mereka sudah membanggakan Argentina,” katanya.
Menerusi kemenangan itu, Argentina dijadualkan membuat perhitungan dengan juara Eropah, Sepanyol pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium New York awal pagi Isnin nanti.
Jika berjaya mempertahankan kejuaraan dimenangi empat tahun lalu, ia pasti menjadi hadiah perpisahan terbaik buat kapten, Lionel Messi yang dijangka mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa sebaik Piala Dunia berakhir.
Sementara itu, Scaloni menyuarakan hasrat untuk menjadi pasukan pertama di era moden yang berjaya mempertahankan trofi Piala Dunia, lebih-lebih lagi mereka berdepan laluan berliku sejak pusingan 32 terbaik.
“Sudah tentu kami mahu menjadi juara dan sedia untuk memberikan segala-galanya. Selepas apa yang kami harungi pada pusingan kalah mati, saya fikir pemain-pemain berhak untuk tamatkan edisi kali ini dengan menjulang trofi.
“Apabila menyarung jersi Argentina, semua pemain memikul tanggungjawab cukup besar dan mereka tahu apa perlu dilakukan. Penyokong juga tahu betapa besar maknanya ketika menyarung jersi ini,” ujarnya. – AGENSI














