OTTAWA – Kru sebuah kereta api berhadapan detik cemas apabila kenderaan itu terperangkap dan terkepung dalam kebakaran hutan yang marak, susulan fenomena kubah haba ekstrem yang melanda rantau Amerika Utara, lapor agensi berita The Sun UK.
Rakaman video kru dari dalam lokomotif menunjukkan ‘tembok api’ menjulang tinggi ketika kereta api tersebut meredah laluan merentasi kawasan hutan di Ontario, Kanada.
Ia merakam detik kenderaan itu diselubungi api yang marak di kedua-dua landasan.
Suasana di luar tingkap bertukar menjadi jingga yang menyeramkan, menyamai keadaan di dalam sebuah relau pembakar.
Sementara itu, dalam rakaman audio yang tular, pemandu kereta api terbabit kedengaran panik ketika berhubung melalui radio.
“Ia berpotensi mengatasi kita di sini, ini mula menakutkan, ya Tuhan. Kita kini diselubungi api.”
Menurut laporan, kebakaran hutan tersebut bermula di kawasan Armstrong, berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).
Insiden bermula apabila kru kereta api bertindak menanggalkan unit lokomotif mereka bagi menyelamatkan seorang pekerja yang terperangkap pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, akibat asap tebal dan jarak penglihatan sangat terhad, unit lokomotif yang ditanggalkan dilaporkan terlanggar tren mereka sendiri. Impak pelanggaran tersebut mencetuskan kebakaran tambahan yang lebih besar.
Kru kereta api terbabit terpaksa mengambil keputusan drastik untuk meninggalkan lokomotif tersebut dan melarikan diri dengan berjalan kaki bagi menyelamatkan nyawa masing-masing. – AGENSI















