KUALA LUMPUR – Penampilan pertama selaku gandingan beregu lelaki baharu belum membawa tuah buat Man Wei Chong-Soh Wooi Yik apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini, Wei Chong-Wooi Yik akur dengan kekalahan tiga set 23-21, 17-21, 16-21 kepada beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Turun dengan misi memburu kemenangan sulung, beregu negara memulakan perlawanan dengan langkah positif apabila menang 23-21 di set pertama sebelum pemain lawan bangkit memenangi set kedua 21-17.
Memasuki set penentuan, perlawanan berlangsung cukup seimbang apabila kedua-dua pasukan saling bertukar servis dan berbalas serangan, namun kelebihan memihak Taiwan yang mendahului 15-14.
Ketika Wei Chong-Wooi Yik cuba untuk bangkit memintas kedudukan, Fang Chih-Fang Jen dilihat lebih bersedia apabila bertahan dengan baik sebelum mengutip mata demi mata dan menang 21-16.
Menerusi kekalahan itu, kedua-dua pemain berkenaan memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka China di Changzhou minggu depan. – KOSMO! ONLINE















