MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terkunci hampir 30 minit di dalam sebuah kereta selepas tertidur ketika menemani neneknya membeli pisang goreng di hadapan sebuah restoran di Lingkaran MITC, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.48 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh telah dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer.
“Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun telah terkunci di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz.
“Pintu kereta berjaya dibuka dalam masa seminit oleh pasukan bomba dan mangsa ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujarnya, difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa menemani neneknya keluar membeli pisang goreng.
“Kebiasaannya nenek mangsa akan mengunci pintu kereta dan cucunya akan membuka semula kunci dari dalam, namun tadi kanak-kanak itu tertidur.
“Usaha mengejutkan mangsa dengan mengetuk dan menggoyangkan kereta selama kira-kira 30 minit tidak berhasil, menyebabkan neneknya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE















