KOTA BHARU – Tiada pengurangan kompaun diberikan kepada penganjur majlis disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah premis di tepi Sungai Kelantan selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah pada minggu lalu.
Kompaun yang dikenakan terhadap penganjur adalah sebanyak RM25,000, manakala RM5,000 lagi bagi kesalahan menjual tiket tanpa permit berharga RM35.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pihak penganjur mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Ahad lalu untuk pengurangan kompaun.
Menurutnya, pihak penganjur menyerahkan surat untuk mendapat persetujuan pengurangan bagi kedua-dua kompaun yang dikenakan.
“Sehubungan itu, saya membuat keputusan bahawa kedua-dua kompaun itu tidak dikurangkan. Penganjur perlu menjelaskan bayaran RM30,000 dalam tempoh tujuh hari selepas surat jawapan diserahkan kepada mereka.
“Saya sudah mengarahkan surat jawapan itu diserahkan segera bagi membolehkan penganjur program tersebut menjelaskan kompaun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hilmi berkata, sekiranya penganjur terbabit gagal menjelaskan bayaran, tindakan mahkamah akan diambil mengikut Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan( Kelantan) 2025.
Katanya, bagi kesalahan menjual tiket hiburan tanpa permit, penganjur dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025. – KOSMO! ONLINE















