GEORGE TOWN – Anggota penguat kuasa perlu berani berubah dengan melepaskan gaya hidup di luar kemampuan dalam usaha membanteras gejala rasuah atau salah guna kuasa.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perubahan tidak boleh berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan keazaman tinggi.
Menurutnya, mereka yang sudah terbiasa dengan gaya hidup mewah sukar untuk kembali menjalani kehidupan sederhana kerana masih dibebani pelbagai komitmen kewangan seperti pinjaman rumah, kenderaan dan hutang-hutang lain.
“Amaran ini saya rasa semua pun dah tahu. Tengok, dengar dah berapa kali saya cakap. Akhirnya, saya pun pernah cakap, dia jatuh (terpulang) kepada individu itu sendiri.
“Sekiranya dia telah terbeli dengan cara hidup mewah, untuk (jika) dia ingin bertukar kepada satu cara hidup yang sepatutnya, memang memakan masa.
“Dia tak boleh ubah satu hari. Sebab apa? ‘Loan’ (pinjaman) rumah nak bayar, ‘loan’ kereta nak bayar, macam-macam ‘loan’ nak bayar melainkan dia sanggup melepaskan apa jua di luar kemampuan untuk kembali hidup sepertimana sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai amalan rasuah membabitkan anggota dan pegawai yang bertugas di pintu masuk negara.
Beliau berkata, pihaknya optimis anggota yang menyertai AKPS mempunyai keinginan untuk berubah dan memperkukuhkan integriti dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.
“Saya optimistik mereka yang memasuki AKPS mempunyai keinginan untuk berubah ke arah itu. Alhamdulillah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















