PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum isu penyampaian ceramah agama tanpa tauliah secara dalam talian khususnya di platform media sosial.
Menterinya Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini, bidang kuasa berhubung hal itu terletak di bawah kerajaan negeri yang mana mereka mengawal pentauliahan mengajar agama, termasuk memberikan tauliah kepada individu layak.
“Daripada aspek ada satu perkara iaitu (mengajar agama tanpa pentauliahan) secara online (dalam talian) itu, kita masih melihat bagaimana untuk mengambil perhatian perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan masih meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan aspek perundangan yang perlu diperhalusi.
“Di peringkat jabatan, kita memang sentiasa memastikan bahawa mereka yang dijemput untuk ke udara dan sebagainya, ada tauliah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekangan penguatkuasaan yang dihadapi Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dalam membanteras perkara tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, Zulkfli menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang Syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu, khususnya jenayah di alam siber.
Menurutnya, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah kekal berkesan serta diyakini masyarakat.
“Pendakwaan syariah perlu bergerak seiring perkembangan teknologi. Pengurusan kes secara digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta pemodenan prasarana dan sistem pengurusan kes hendaklah dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ketelusan penyampaian keadilan,” katanya.
Menurut beliau, cabaran jenayah yang semakin kompleks turut menuntut pendakwa syarie meningkatkan kompetensi dalam pelbagai bidang baharu.
“Kita mahu melahirkan pendakwa syarie yang bukan sahaja mantap kefahaman syariahnya, malah menguasai kemahiran perundangan moden.
“Dalam era jenayah yang semakin kompleks, pendakwa syarie perlu sentiasa meningkatkan kompetensi, termasuk dalam aspek forensik digital, analisis data, teknologi dan teknik advokasi agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dengan profesionalisme yang tinggi,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE















