KUALA LUMPUR – Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas menyingkirkan pilihan ketujuh dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi, pasangan No.22 dunia itu memerlukan masa 60 minit untuk mencatat kemenangan tiga set 11-21, 26-24, 21-15.
Turun sebagai pasangan bukan pilihan, Aaron-Khai Xing memulakan perlawanan dengan agak goyah apabila jauh ketinggalan di set pertama sebelum akur dengan kekalahan 11-21.
Tersentak dengan kekalahan awal, bekas juara remaja dunia itu kemudiannya memperkemaskan aksi di set kedua dengan perlawanan berlangsung cukup sengit sehingga diheret ke penentuan ‘deuce’.
Aaron-Khai Xing yang tidak rela pulang awal berjaya mengekalkan fokus selain tidak memberi ruang buat kedua-dua pemain lawan sebelum menang 26-24, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, pemain negara dilihat bermain dengan lebih yakin dan berjaya menjarakkan kedudukan 16-11, sekali gus meletakkan tekanan ke atas Bo Yang-Liu Yi.
Walaupun beregu China cuba untuk merapatkan kedudukan, namun Aaron-Khai Xing kekal tenang sebelum memastikan kemenangan muktamad 21-15 dan mara ke pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE















