PETALING JAYA – Amalan subsidi silang dalam pembangunan perumahan dilihat antara faktor yang mengakibatkan fenomena jarang berlaku., kini wujud sekarang.
Isu ini telah menyebabkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) adalah lebih tinggi berbanding kumpulan berpendapatan sederhana (M40).
Kajian Housing for All: Co-Creating a Needs-Driven Framework oleh REHDA Institute menunjukkan kadar pemilikan rumah bagi kumpulan M40 pada tahun 2024 ialah 75.9 peratus, berbanding 76.3 peratus bagi kumpulan B40.
Pengarah Penyelidikan, REHDA Institute, Malathi Thevendran berkata, pemaju perumahan kini diwajibkan membina sejumlah rumah pada harga terkawal untuk kumpulan B40 yang dijual pada harga serendah RM42,000 seunit, jauh lebih rendah berbanding kos pembinaannya.
“Kos tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada pembeli lain, contohnya rumah yang boleh ditawarkan pemaju pada harga RM300,000 terpaksa dinaikkan kepada RM350,000.
“Bagi sebahagian isi rumah M40, mereka mungkin selesa untuk membeli rumah pada harga RM300,000 namun agak sukar bagi mereka untuk menerima penambahan harga sebanyak RM50,000. Ini antara faktor yang menjejaskan keadaan sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Wisma REHDA di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng berkata, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula dasar perumahan sekarang dan membangunkan polisi yang lebih berasaskan data dan keperluan sebenar.
Jelasnya, ini termasuk menyemak kuota rumah mampu milik secara berkala, mengurangkan subsidi silang yang membebankan pasaran terbuka, memperluaskan pilihan pembiayaan serta meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan dasar.
“Setakat suku tahun pertama 2026, terdapat 32,800 unit kediaman siap dibina di seluruh Malaysia yang masih belum terjual, dengan rumah berharga RM300,000 ke bawah mencatatkan bilangan tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 15,401 unit (46.9 peratus).
“Hanya soal harga tidak menjelaskan perkara ini, cabaran yang dihadapi bukan sekadar mengenai membina rumah mampu milik yang mencukupi tetapi juga lokasi yang tepat, titik harga yang betul bagi mereka yang memerlukan serta akses mencukupi kepada pembiayaan,” katanya.
Dapatan penuh kajian Housing for All: Co-Creating a Needs-Driven Framework dijadualkan dibentangkan pada Persidangan Perumahan Serantau 2026 oleh REHDA Institute di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Julai ini. -KOSMO! ONLINE















