TELUK INTAN – Seorang pemandu lori mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol rakan persilatannya yang merupakan seorang remaja perempuan bawah umur yang berusia14 tahun.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Muhammad Zaini Mashuri, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh mendakwa mengenali mangsa melalui pertubuhan silat yang dianggotai mereka bersama.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol mangsa sekitar bulan Mei 2026 di antara jam 2.20 petang hingga 4 petang di dalam sebuah kereta, di tepi jalan Sungai Ipil, Sungai Sumun, Bagan Datuk.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah merogol mangsa pada 3 Julai lalu di antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang di sebuah rumah, Ladang Bagan Datoh di daerah Bagan Datuk.
Semasa perbicaraan, tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut dan mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dipenjarakan selama lima tahun secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan serta empat kali sebatan.
Hakim turut menetapkan, tertuduh perlu menjalani kaunseling selama menjalani hukuman dipenjara selain pengawasan polis selama dua tahun sebaik sahaja selesai hukuman penjara.
Sesi pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela. – KOSMO! ONLINE















