PETALING JAYA – Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat esok sebagai langkah memperkukuh agenda reformasi institusi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentangan itu membuktikan komitmen Kerajaan Madami dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Katanya, JKPK yang telah bersidang sebanyak tujuh kali berjaya memperhalusi cadangan asal melalui tujuh penambahbaikan utama bagi meningkatkan kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.
“Antara penambahbaikan itu termasuk pemerkasaan peranan Parlimen dalam proses pelantikan, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
“Turut dicadangkan ialah tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen menggubal undang-undang lanjut bagi memperkukuh institusi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azalina, kerajaan turut mencadangkan pindaan terhadap Fasal (18) Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
Beliau berkata, melalui mekanisme baharu itu, SPKP perlu mengemukakan nama calon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan sebelum diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat.
“Selepas penelitian dibuat, Dewan Rakyat akan mengemukakan syor kepada SPKP dan suruhanjaya itu hanya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nama yang disyorkan.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh mekanisme semak dan imbang tanpa menjejaskan kebebasan Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan,” katanya.
Tambahnya, reformasi berkenaan bukan sekadar mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, malah bertujuan membina institusi pendakwaan yang lebih bebas, telus dan bertanggungjawab.
“Ini merupakan legasi sebenar agenda reformasi institusi Kerajaan Madani bagi mewariskan institusi yang lebih kukuh, berintegriti, berdaya tahan serta diyakini demi kepentingan generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE















