PETALING JAYA – Amazfit telah melancarkan jam tangan dengan model terbaharu yang menggabungkan panduan latihan pintar yang dilengkapi dengan peranti Hyrox dan penjejakan prestasi lanjutan untuk membantu atlet berlatih dengan lebih bijak merentasi kekuatan, daya tahan dan pemulihan.
Produk Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra baharu, dengan Balance 3 yang telah tersedia di Malaysia direka untuk memenuhi keperluan masyarakat di negara ini yang semakin meningkatkan terhadap produk ekosistem Amazfit Hybrid Training.
Segmen tersebut akan menggabungkan kecerdasan Aplikasi Zepp dengan siri Balance untuk membantu pengguna lebih memahami bagaimana latihan, pemulihan, tidur, tekanan dan aktiviti harian berfungsi bersama.

Teras ekosistem ini adalah Amazfit Balance 3 dan Balance Ultra yang mana Balance Ultra berfungsi sebagai model utama, menampilkan binaan titanium Gred 5 dan reka bentuk premium yang beralih dengan lancar antara latihan, kerja dan kehidupan seharian.
Balance 3 pula dibina untuk atlet hibrid harian yang mencari jam tangan pintar serba boleh untuk gimnasium, larian, pemulihan dan pakaian harian, dan tersedia dalam pilihan keluli tahan karat atau titanium.
Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow berkata, atlet dan individu aktif hari ini sentiasa mengimbangi latihan kekuatan, latihan ketahanan, pemulihan dan tanggungjawab harian sekali gus, oleh itu, siri koleksi Balance ini dicipta untuk membantu pengguna memahami bagaimana elemen-elemen ini berfungsi bersama.
“Sehubungan itu, ia akan membolehkan mereka berlatih dengan lebih bijak, pulih dengan lebih baik dan berprestasi pada potensi penuh mereka,” katanya dalam kenyatan bersempena pelancaran dua model tersebut di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, para tetamu, atlet dan peminat kecergasan telah menyertai satu siri cabaran yang diinspirasikan oleh Hyrox sambil memakai sama ada Balance 3 atau Balance Ultra untuk aktiviti kecergasan masing-masing.
Jadi mereka akan dapat merasai sendiri bagaimana jam tangan ini menjejaki prestasi, pemulihan dan kesediaan latihan secara keseluruhan.
Antara ciri menarik yang terdapat pada Balance 3 dan Balance Ultra adalah paparan AMOLED 1.5 inci dengan kaca nilam dan kecerahan sehingga 3,000-nit, GPS dwi-jalur dengan kedudukan enam satelit dan sokongan peta luar talian dan sokongan latihan kekuatan dengan 25 senaman yang dikenali secara automatik.
Ia turut melibatkan ciri-ciri pemantauan kesihatan lanjutan, termasuk kadar denyutan jantung, HRV, tidur, tekanan, oksigen darah dan penjejakan kadar pernafasan, panggilan bluetooth, kawalan suara Zepp Flow, nota suara dan storan onboard.
Tawaran harga bagi koleksi terbaharu ini adalah antara RM1,599 hingga RM2,599 seunit. -KOSMO! ONLINE















