Apabila perkara yang menjadi kebiasaan diganggu atau terganggu, manusia akan mudah marah dan melenting. Kalau kita biasa menunggu LRT atau MRT selama lima minit, tiba-tiba jadi lapan atau 10 minit, pasti kita akan merungut. Kalau biasa memandu ke tempat kerja sekitar sejam, tiba-tiba jadi satu setengah jam, kita pasti marah-marah.
Susah kita hendak reda sahaja dengan keadaan itu kerana ini memang sifat manusia. Apabila kita kemudiannya tahu keadaan itu disebabkan oleh perkara di luar jangkaan seperti tren rosak, ada halangan tertentu atau ada kemalangan, kita boleh menerima keadaan itu.
Begitu juga dengan Budi RON95. Apabila kerajaan perkenalkan subsidi Budi Madani, kita lega. Tetapi apabila had kelayakan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter, kita marah-marah.
Sedangkan, ketika kerajaan menurunkan had itu, data penggunaan sudah diteliti sebaiknya. Memang ada yang terjejas tetapi majoritinya tidak. Cuma apabila sudah biasa dapat 300 liter tiba-tiba kurang 100 liter, kita terkejut dan bimbang. Sebenarnya, ramai yang masih ada baki.
Terbaharu ialah bil elektrik. Dulu kita tidak pernah ambil kisah tentang komponen dalam bil. Kita hanya lihat jumlah yang perlu dibayar dan kemudian bayar sahaja. Tidak banyak soal jawab selagi bil dalam jumlah yang mampu dibayar.
Sekarang, keadaan sudah berubah. Perubahan ekonomi global memaksa kita mengubah gaya hidup termasuk dalam penggunaan tenaga elektrik. Bil elektrik kini lebih terperinci supaya pengguna dapat melihat kadar penggunaan dan caj-caj yang dikenakan.
Bil terperinci kini ada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang berubah setiap bulan mengikut harga bahan api global. Ada juga caj Kapasiti, Rangkaian dan Peruncitan, selain cukai perkhidmatan dan KWTBB.
“Dulu kena jaga petrol sahaja, sekarang nak kena jaga elektrik juga”. Itu antara keluhan orang ramai apabila melihat bil elektrik mereka naik secara mendadak. Hakikatnya, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad bukan suka-suka hendak mengenakan caj yang bukan-bukan.
Elektrik adalah keperluan. Ia berhubung kait langsung dengan pengguna. Tidak dinafikan ada kenaikan dalam jumlah keseluruhan bil sejak dua bulan lalu tetapi ada juga kaedah untuk mengurangkan impaknya. Mungkin kita yang tidak prihatin.
TNB sudah memperluaskan Skim Time of Use (ToU) kepada pengguna domestik. Ambil segera peluang itu. Kadar di bawah ToU lebih rendah apabila digunakan di luar waktu puncak. Luar waktu puncak juga akan panjang iaitu selama 12 jam sehari dari pukul 10 malam hingga 2 petang dan sepanjang hujung minggu dan cuti umum.
Memang kita akan marah tetapi lihatnya juga dari sudut positif. Kita cuma perlu sesuaikan waktu aktiviti kita dengan skim ToU. Ini boleh mengurangkan pembaziran elektrik, selain menggalakkan rakyat beralih ke peralatan cekap tenaga. Muat turun aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan elektrik secara harian.
Yang pasti, peranti yang kononnya boleh jimat elektrik memang menipu. Jangan sekali-kali terpedaya dengan janji manis dan testimoni yang disogokkan oleh penjual. Kalau berkesan, sudah lama kerajaan galakkan.
Justeru, pegang pada jaga dua perkara (petrol dan elektrik) sebelum dua perkara (bayar lebih dan membazir).















